Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah- langkah menghadapi tekanan ketika peperiksaan dan peranan ibu bapa untuk mengurangkan tekanan. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Proses penilaian melalui
peperiksaan awam yang penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil
Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan
negara masih relevan. Melalui penilaian inilah pelajar yang cemerlang dalam
bidang akademik dan disokong dengan kecemerlangan dalam bidang koakademik atau
kokurikulum mempunyai peluang cerah untuk melanjutkan pengajian di universiti
awam. Namun begitu, isu yang paling menarik untuk diperkatakan bukanlah tentang
puluhan ribu pelajar yang dapat melanjutkan pelajaran di universiti awam tetapi
situasi yang dihadapi oleh pelajar sebelum menjelangnya kedua-dua peperiksaan penting
itu.
Pelbagai
ragam pelajar sama ada yang positif atau negatif sebelum menjelangnya
peperiksaan awam termasuklah tekanan perasaan atau stres yang rata-ratanya
dihadapi oleh pelajar. Tekanan ialah perkara yang berkaitan dengan ketegangan
yang dialami oleh mental atau emosi seseorang disebabkan oleh pelbagai faktor.
Pelajar atau remaja perlu mempunyai kemahiran untuk mengatasi masalah tekanan
perasaan supaya fokus mereka untuk menghadapi peperiksaan tidak terjejas.
Pelajar biasanya mendapat tekanan daripada ibu bapa, guru atau rakan untuk
meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Dalam konteks ini, pelajar
seharusnya berasa tenang dan sentiasa fokus tentang peperiksaan yang akan
dihadapi. Ketenangan yang diperlukan tidak akan datang dengan tiba-tiba atau
secara terpaksa tetapi akan terzahir apabila pelajar bersedia dengan
sebaik-baiknya. Lantaran itu, pelajar perlu melaksanakan perancangan yang
sesuai berdasarkan kemampuan dan komitmen mengikut keupayaan sebagai persiapan
menjelang peperiksaan. Malahan mereka sepatutnya mengadakan jadual pembelajaran
yang sistematik dan boleh diikuti agar tidak menggelabah atau mengalami kerisauan yang kronik sebelum peperiksaan.
Tekanan perasaan
perlu ditangani dengan segera untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk
berlaku terutamanya bagi para pelajar. Pelajar perlu memahami Falsafah
Pendidikan Negara yang mahu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani, intelektual dan sosial. Oleh itu, mereka seharusnya belajar
dalam persekitaran yang menyeronokkan agar emosi mereka berkembang secara
natural dan memenuhi keperluan mereka sebagai remaja. Pelajar juga perlu
menjauhkan diri daripada perkara yang merosakkan emosi dan ketenangan.
Seelok-eloknya pelajar harus mempunyai hala tuju yang konsisten tentang masa
depan mereka. Perkara sampingan yang mampu menjejaskan kestabilan emosi seperti
hubungan peribadi dengan rakan-rakan, masalah keluarga, masalah dengan guru dan
masalah kewangan perlu ditangani dengan bijaksana kerana dikhuatiri mampu
menjejaskan tumpuan mereka terhadap peperiksaan.
Sekiranya pelajar
menghadapi masalah kritikal yang mampu menjejaskan ketenangan, mereka perlu
segera berjumpa dengan guru yang rapat atau kaunselor di sekolah. Guru atau
kaunselor pasti mempunyai kaedah bagi mengatasi masalah ini. Di samping itu,
pelajar perlu menjaga kesihatan diri kerana tanpa kesihatan yang baik sukar
bagi pelajar untuk mengulang kaji pelajaran dan melakukan latihan intensif
dengan baik. Pelajar sepatutnya membanyakkan amalan kerohanian yang dapat memberikan
ketenangan kepada jiwa sebagai persiapan penting untuk menghadapi peperiksaan.
Kesimpulannya, tugasan atau bebanan yang keterlaluan kepada pelajar semata-mata
mahu menjadikan mereka cemerlang dalam bidang akademik perlu dielakkan demi
melahirkan insan yang cemerlang dari segi ilmu dan akhlaknya.
( Dipetik dan diubahsuaikan daripada “Tekanan Perasaan Menggugat Peperiksaan” oleh Nizar Parman
Dewan Siswa, September, 2015)
0 comments:
Post a Comment