PENA BAHASA

KEMBARA MUSAFIR
 
Showing posts with label CERPEN. Show all posts
Showing posts with label CERPEN. Show all posts

Saturday, April 4, 2020

Cerpen Anugerah Tuhan

0 comments


Anugerah Tuhan

Kedinginan bayu malam yang berbaur dengan pelbagai bau dari reban ayam dan itik di  belakang rumah Wani sungguh menggigit semangatnya yang kian pudar dan menambahkan lagi rasa pilu di hatinya. Matanya yang sejak azali sememangnya merah, bertambah merah lagi apabila dibanjiri oleh takungan air mata seperti banjir kolam itiknya ketika hujan. Apa lagi ujian yang perlu dilaluinya setelah bermacam-macam rimba dugaan ditempuhi dengan penuh sabar, sungguh dia tidak pasti lagi. Dia kini bagaikan camar berbulu putih yang terkurung di dalam sangkar kejahilan manusia. Jiwanya meronta-ronta ingin mencari jalan kebebasan, namun tiada ruang atau peluang yang ditemui.
Dengan hati yang berduka lara, Wani melabuhkan punggungnya di atas anak tangga sambil memeluk erat tubuhnya. Berbeza dengan suara agas dan nyamuk yang berpesta ria menghisap darahnya dan berdengungan nyaring di telinganya, reban haiwan ternakannya kini sunyi sepi tidak berpenghuni. Termangu dia sendirian dalam menungan panjang di bawah sinaran bulan yang terang benderang, digelumangi oleh rentetan sejarah hidup yang ditimpa pelbagai malapetaka yang menghitam zulmatkan masa depannya, tanpa henti. Pelbagai persoalan bagaikan belati sembelihan yang diasah berlegar-legar dan menusuk tajam di awanan akalnya. Tersentak-sentak nafasnya oleh satu persatu masalah yang bergolekan datang lalu menghempap dirinya yang mempunyai kulit dan rambut memutih susu seperti bergolek datangnya malapetaka silam sepuluh tahun yang lepas ke dalam benaknya kembali.    Dia seakan dapat melihat akan wajah ibunya yang suram apabila kuih karipap, donat, keria dan koci yang dijual di hadapan rumahnya sudah tidak laku lagi. Dia juga seperti dapat menghidu kembali akan bau najis di reban ayam dan itik ternakannya yang tinggal kosong secara tiba-tiba itu semula. Reban haiwan ternakannya habis musnah. Papan-papan yang ada punah dipatahkan, atap zink rebannya pula teruk dikemekkan. Argh! Apa lagi wanita sepertiku boleh lakukan? Hendak mengadu pada Tok Halim, Tok Penghulu Kampung, tak payah. Sama seperti cari nahas. Silap hari bulan, bukan sekadar dihinanya lagi, malah akan ditertawa-siniskan. Hendak laporkan pada Tuan Arshad? Lagi tak payah. Cari penyakit tambahan saja. Macamlah manusia berkulit dan berambut putih seperti aku ini tidak memadai untuk dijadikan bahan jenaka. Mataku yang kemerahan saja sudah cukup untuk aku disisihkan oleh penduduk Kampung Bara, Jelebu, Negeri Sembilan. Baik lupakan saja!
“Kenapa mesti ayah kau datang semula ke kampung ni! Sakit hati ibu melihat mukanya. Dia gembira, kita sengsara!” rintih ibunya dengan nada suara perih menahan kesakitan yang tidak tertanggung, pipinya yang berkedut basah dengan air mata dan rambutnya yang putih beruban dibiarkan mengurai begitu saja.
Wani pantas berlari ke bilik ibunya. Tangisan ibunya merunsingkan fikiran dan menyayatkan hatinya. Aduhai, anak mana yang sanggup melihat ibunya tersiksa dan hidup menderita sedemikian rupa? Wani sungguh tidak menyangka bahawa bapa yang meninggalkan ibunya ketika dia masih dalam kandungan lagi, kini dengan tiba-tiba hadir kembali dalam lembaran hidup mereka setelah hampir tiga puluh tahun berlalu. Sungguh Wani sukar mempercayainya. Akalnya bercelaru tidak keruan. Sungguh dia tidak pasti apa yang patut dilakukannya sekarang. Dia seakan hampir lemas di permukaan dua batang sungai yang airnya mengalir amat deras, namun dia perlu merenangi kedua-dua sungai tersebut secara serentak bagi mencapai impiannya. Tanpa sedar, Wani mengeluarkan rantai yang diikatkan sebutir batu putih di lehernya, lalu dia menggenggamnya dengan erat. Walaupun segalanya begitu mencelarukan fikirannya, namun ingatannya masih segar terhadap peristiwa yang menyebabkan kaki kanan ibunya menjadi cacat.
“Aku takkan mengalah. Aku akan buktikan wanita berlainan upaya juga boleh berjaya. Lihat saja nanti!” bentak hatinya membara dengan semangat berkobar-kobar yang dicetuskan oleh rasa tersinggung yang membuak-buak setiap kali apabila melihat batu tersebut. Api amarahnya dipastikan membakar semangat perjuangannya supaya sentiasa marak menyala, bukan sebaliknya memudar padam. Rasa amarah yang menjulang setinggi langit itu, akan dipastikan bahawa Wani yang lahir tanpa memiliki bin yang sah itu, bukan seperti Mat Jenin yang hanya gemar berangan tanpa berusaha merealisasikan angan-angannya. Tidak akan dibiarkan begitu sahaja cita-citanya yang tinggi menggunung seperti Gunung Besar Hantu, gunung tertinggi di tempatnya. Impian menjadi usahawan penternak berjaya di kampungnya sudah ditanam sejak kecil lagi, lenyap begitu sahaja. Malah, sejak kecil lagi, dia sudah menyedari bahawa berkawan dengan haiwan kadangkala lebih indah daripada berkawan dengan manusia. Sekurang-kurangnya, haiwan ternakannya tidak pernah menyakiti hatinya berbanding dengan penduduk kampung yang suka mencaci dan menghina dirinya.
Ketika hanya suara unggas memecahkan kesunyian malam. Wani merebahkan tubuhnya duduk bersujud di atas sejadah keimanan memohon petunjuk dan taufik daripada illahi. Dengan linangan air mata yang jatuh membasahi pipinya, Wani menadah tangan dan bersungguh meminta pertolongan dan diberikan jalan oleh-Nya. Wani perlu memilih antara sama ada meneruskan perjuangannya sebagai penternak berjaya atau terus melihat ibunya menangis dan tersiksa jiwa dan batinnya. Masih terngiang-ngiang di gedung fikirnya akan perbualan dengan ibunya ketika membasuh pinggan di dapur malam tadi.  
“Mulai esok, kemas barang kamu sikit-sikit ya. Ibu dah fikir masak-masak. Kita akan berpindah dari kampung ni minggu hadapan. Soal rumah baru kita usah dirisaukan. Ibu sudah beritahu paklong kamu untuk uruskan. Ibu dah tak sanggup lagi melihat muka lelaki yang tergamak membuat hidup kita menderita.”
 Wani hanya menganggukkan kepalanya sambil membasuh pinggan yang terdapat di atas sinki kerana tidak mahu menambah beban di kepala ibunya lagi. Setitis demi setitis air mata jatuh berlinangan di pipinya. Dia tidak dapat menahan sebak apabila memikirkan perjuangannya. Sudah hampir sepuluh tahun Wani mengusahakan haiwan ternakan ayam dan itiknya. Melihat kepada pencapaian jumlah haiwan ternakannya sebelum ini, dia boleh saja digelar penternak kampung berjaya. Sia-sia sajalah usahanya selama ini jika mereka berpindah dari Kampung Bara secara tiba-tiba.
“Alhamdulillah. Permohonan untuk mengikuti Program AZAM Tani berjaya!” Wani melompat kegembiraan setelah membaca surat yang diambil dari peti pos di hadapan rumahnya. Wani bagaikan tidak percaya bahawa sinaran matahari pagi itu membawa sinar harapan baru. Setelah dia menghadiri Kursus Asas Penternakan Ayam Pedaging anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada bulan lepas, kini dia bakal berpeluang mengikuti Program AZAM Tani. Dengan mengikuti program tersebut, dia akan didedahkan dengan kursus menguruskan ternakan ayam pedaging dan menerima bantuan kewangan sebanyak sepuluh ribu ringgit serta seratus ekor ayam pedaging, reban, bekas makanan dan minuman secara percuma. Lantas, dengan hati yang berbunga, Wani membawa surat tersebut dan berlari seperti kanak-kanak yang baru mendapat aiskrim di sekeliling rumah untuk mencari ibunya bagi menyampaikan berita gembira tersebut.
“Apa yang anak ibu gembirakan sangat ni. Dah kemas barang belum? Tak lama lagi ‘kan kita nak berpindah.” tutur ibunya lembut dengan senyuman yang terukir di wajahnya.
Wani tersentak seketika mendengarkan teguran ibunya yang sedang melipat pakaian di biliknya. Dia benar-benar terlupa bahawa mereka akan berpindah ke rumah baru yang akan diuruskan oleh pak longnya pada minggu hadapan. Sedikit demi sedikit dia memaksakan dirinya supaya tenang duduk di atas katil lalu memeluk lengan kanan ibunya seraya.
“Wani sayang Ibu. Tapi, jika ibu izinkan. Wani nak capai cita-cita Wani dulu. Wani nak buktikan pada orang kampung wanita berlainan upaya, berlainan warna kulit, rambut dan mata seperti Wani juga boleh berjaya dalam bidang perusahaan termasuk penternakan.” pujuk Wani dengan harapan ibunya akan memahami impiannya yang sudah lama tertanam di hati.
Secara mendadak, kelopak mata ibunya berkaca-kaca mendengar luahan hati Wani. Ibunya seakan tidak menyangka bahawa anak gadis berlainan upaya yang Tuhan anugerahkan kepadanya itu, mempunyai ketabahan dan semangat juang yang tinggi. Ibunya segera berhenti daripada melipat kain lalu terus memeluk Wani buat beberapa ketika. Sungguh hangat pelukan seorang ibu sehingga menyentuh perasaan Wani. Terasa lapang di dada, bagai serta-merta hilang segala duka.
Hari bersilih ganti, musim berganti musim, bulan dan matahari bergilir-gilir memancarkan sinaran kebesaran Tuhan siang dan malam, menyaksikan ketabahan Wani mengharungi cabaran-cabaran getir seperti penularan wabak selesema burung dan keadaan cuaca yang tidak menentu. Mujur ilmu yang diperolehi ketika mengikuti program AZAM Tani banyak membantunya mendepani masalah-masalah tersebut. Wani sentiasa mematuhi jadual pemberian vaksin kepada ayam ternakannya dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi apa jua masalah yang boleh berlaku. Hampir lima tahun berlalu sejak Wani mengikuti program AZAM Tani yang diuruskan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) daerah Jelebu. Wani bersyukur tidak terhingga kerana melalui program tersebut, Wani diberikan seratus ekor anak ayam pedaging, bekas makanan dan minuman, dedak ayam  dan sebuah reban yang bersaiz 20 kaki. Hasil daripada penjualan ayam pedaging tersebut, Wani kini telah memiliki ribuan ekor ayam yang terdiri daripada ayam pedaging, ayam telur dan ayam kampung. Pendapatannya mencecah dua puluh ribu sebulan sehingga membuatkan dia berkemampuan untuk mengupah sepuluh pekerja yang terdiri daripada pemuda kampung yang menganggur bagi membantunya menguruskan perusahaan ternakannya secara professional.  Sesungguhnya untuk menjadi seorang usahawan penternakan yang berjaya laluannya bukanlah semudah yang disangkakan. Banyak kemahiran dan pengetahuan yang perlu Wani kuasai. Wani langsung mengambil inisiatif dengan mendaftarkan perusahaan ternakannya di Jabatan Veterinar Daerah Kawasan Jelebu. Pada setiap bulan, dia akan melaporkan perkembangan perusahaan ternakannya  di Jabatan Veterinar Daerah dan Pejabat Peladang Kawasan Jelebu di samping mendapatkan informasi dan input yang berguna. Sungguh tidak disangka, rupanya berita tentang kejayaan Wani dibawa oleh tiupan angin lalu tersebar luas di seluruh kampung dan daerah malahan, khabarnya hingga di peringkat negeri juga. Sayangnya, terbukti adat manusia apabila berjaya, pasti ada yang dengki khianat dan ada yang datang menghampiri. Wani terkejut apabila orang kampung yang sebelum ini melayannya seperti sampah kini melayannya dengan penuh mesra seolah-olah merekalah sahabat sejatinya dunia akhirat. Malah, ada juga yang datang ke rumahnya semata-mata mahu meminjam wang. Yang lebih mengejutkan lagi ialah terdapat lelaki di kampungnya yang sudah beristeri datang ke rumahnya mahu menjadikannya isteri kedua.
 Sedang dia duduk bersendirian di ladang ternakannya, entah mengapa, terasa sayu yang teramat sangat tiba. Sambil memegang batu putih yang diikat pada rantai di lehernya, Wani terkenang sejarah kehidupannya dua puluh tahun yang lepas. Batu itu merupakan batu yang diberikan Tok Halim semasa Wani datang ke rumahnya ingin meminjam wang membeli ubat kaki ibunya yang sakit tertusuk duri. Sehingga kini, Wani tidak dapat melupakan penghinaan Tok Halim terhadap dirinya. Disebabkan kebakhilan Tok Halim, kini ibunya terpaksa berjalan terhencot-hencot kerana memiliki kaki kanan yang cacat.
Simpatinya melimpah untuk ibu tercinta, walaupun diri sendiri pun kurang bernasib baik kerana ditakdirkan menghidap Syndrom Albino. Tidak mengapalah jika dia dianggap berbeza sekali dengan orang lain. Dia redha saja. Malah, sejak dia mula menghela nafas pertama dari dalam rahim ibunya lagi, khabarnya rambut dan kulit di sekujur tubuhnya memutih susu, matanya merah-kemerahan seperti kulit dan mata seekor arnab dan fungsi pancainderanya pula agak lemah berbanding manusia biasa. Bertambah malang lagi apabila dia menerima tempias dosa kedua ibu dan bapanya atau dalam erti kata lain dia merupakan anak luar nikah. Pelbagai tohmahan dan celaan yang dilontarkan oleh orang kampung kepada dia dan ibunya. Peristiwa cacian orang kampung yang masih segar di ingatannya ialah peristiwa hitam yang berlaku semasa dia baru berumur sepuluh tahun lagi. Ketika itu dia sedang bermain di taman permainan berdekatan dengan padang Sekolah Kebangsaan Bara.
“Hoi haiwan putih! Berambus dari sini! Rupa kau saja sudah cukup untuk membuatkan kami ketakutan di sini.” herdik seorang mak cik yang membawa anaknya bermain di permainan tersebut.
“Maafkan saya mak cik. Saya cuma ingin tumpang bermain. Nanti saya pulanglah ke rumah.” getusnya perlahan.
Tiba-tiba, seorang pemuda kampung menolak Wani jatuh di atas permukaan tanah. Penduduk kampung yang ada di taman tersebut tidak berhenti mentertawakan Wani. Dengan lutut yang berdarah, Wani menangis tersesak-esak dan pulang ke rumah. Sekali pun tidak pernah terdetik di hatinya untuk menyalahkan takdir terhadap apa yang telah berlaku. Malah dia bersyukur kerana ibunya tetap sanggup memeliharanya dengan penuh kasih sayang sehingga dia meningkat dewasa. Kos sara hidup yang semakin tinggi memaksa dia untuk tidak hanya mengharapkan jualan kuih ibunya sahaja. Biarpun hidup dalam keadaan serba kekurangan, dia tetap gigih mencari kerja sampingan dan rezeki yang halal bagi meneruskan kelangsungan hidup misalnya dia pernah berkerja sebagai pencuci pinggan di sebuah warung yang terdapat di Kampung Bara. Itupun cuma seminggu sahaja, kemudian dia diberhentikan gara-gara mulut orang kampung yang memaksa majikannya untuk memberhentikannya.
Pelbagai penghinaan yang Wani tempuhi semasa mencari kerja. Orang kampung memandangnya sebagai ‘malang’ atau ‘kutukan tuhan’ kerana ini merupakan kali pertama mereka melihat manusia yang memiliki warna kulit dan rambut berwarna putih serta mata yang berwarna merah. Lebih menyedihkan lagi, dia pernah diusir persis binatang apabila dia memasuki beberapa buah kedai untuk mencari kerja.
“Kau ni lah budak ‘kutukan tuhan’ tu kan. Pergi! Keluar kau dari kedai aku. Nanti habis semua pelanggan aku lari.” pinta seorang wanita tua yang merupakan pemilik sebuah butik pakaian kepada Wani.
“Maafkan saya makcik, saya cuma ingin bertanya jika ada kerja kosong di sini. Soal gaji saya tidak kesah. Terpulanglah pada makcik. Tolonglah ambil saya bekerja di butik makcik.” rayu Wani dengan kedua belah tangannya memegang kaki makcik tersebut.
Tanpa ihsan, pemilik butik tersebut menerajang badan Wani lalu tubuhnya jatuh rebah ke atas lantai. Dengan linangan air mata, Wani memohon maaf lalu beredar dari butik tersebut dan pergi ke kedai lain. Bagi orang kampung, wanita albino seperti Syazwani lebih baik mati sahaja daripada terus mencurah aib dalam telaga kampung mereka.
Sesungguhnya Wani berasa teramat lelah dan longlai dengan sikap dan layanan orang kampung terhadapnya. Lantas, dengan rasa tersinggung yang bukan alang kepalang, dia akan memegang rantai yang diikat dengan sebutir batu yang terkalung di lehernya. Segala tohmahan dan penghinaan orang kampung akan digabungkan untuk dijadikan tenaga dalaman yang membuak-buak dalam dirinya. Tenaga tersebut akan berubah menjadi semangat untuk membuktikan bahawa dia sebenarnya lebih baik daripada mereka yang sering memperlekeh-remehkan dirinya.
            Wani membela beberapa haiwan ternakan seperti ayam, itik dan dan arnab di belakang rumahnya. Kegigihannya luar biasa kerana daripada sepasang sahaja setiap haiwan ternakan yang dia miliki kini sudah beranak-pinak. Wani mula menjual beberapa haiwan ternakannya ke sebuah pasar yang terdapat di pekan. Dia pernah cuba menjual haiwan ternakannya kepada orang kampung, namun cacian sahaja yang diterimanya, seolah-olah jika membeli haiwan ternakan daripada penternak berlainan upaya, mereka akan terjangkit dengan penyakitnya. Perkara itu tidak pernah Wani biarkan mematahkan semangatnya malah menjadi api pembakar semangat perjuangan hidupnya.
 Malang tidak berbau, jualan kuih ibunya kini sudah tidak ada yang mahu membeli. Ada segelintir orang kampung yang menabur onar dan fitnah ke periuk rezeki Wani dan ibunya. Api hasad dengki di jiwa mereka yang sememangnya sukar dipadam, merebak kepada penduduk-penduduk kampung yang lain, bagaikan api dalam sekam. Malah ia menjadi lebih marak apabila terkena percikan kejayaan orang lain. Mahu tidak mahu, Wani dan ibunya terpaksa bergantung penuh pada sumber pendapatan hasil jualan haiwan ternakannya semata-mata. Wani berazam untuk memperkembang lagi perusahaan ternakannya.
Sewaktu berjalan pulang dari pekan ke kampung. Wani disapa oleh Tuan Arshad yang menaiki kereta mewah yang berkilat. Tuan Arshad merupakan orang kaya dari bandar yang mengambil keputusan untuk tinggal di kampung Bara setelah 20 tahun berhijrah meninggalkan kampung berniaga di bandar.
“Anak mahu ke mana? Mari pakcik tumpangkan.” pelawa Tuan Arshad. Layanan Tuan Arshad terhadap Wani persis seperti seorang anak walaupun baru saja bertemu. Wani pernah diajak bertandang ke rumahnya dan dijamu dengan makanan yang sangat enak.
 Wani berasa sungguh selesa berbual dengan Tuan Arshad. Isteri Tuan Arshad juga melayannya dengan penuh mesra kerana mereka sememangnya tidak mempunyai anak. Wani lalu menceritakan mengenai Tuan Arshad kepada ibunya apabila pulang ke rumah. Ternyata, ibunya begitu gembira kerana terbukti masih ada juga orang kampung yang melayan Wani seperti seorang manusia sempurna. Sejak hari itu, Wani semakin kerap dijemput pergi ke rumah Tuan Arshad dan ini sesungguhnya amat Wani hargai kerana ia memudahkan dia bertanyakan tentang selok-belok perniagaan. Anehnya, hal ini cukup tidak disenangi oleh Tok Halim. Tok Halim dan orang kampung sering kali menyindir Wani apabila bertemu di kedai runcit atau di tepi jalan. Mereka menggelarkan Wani ‘haiwan putih’ dan macam-macam lagi. Lebih teruk lagi, Tok Halim pernah menyebarkan kepercayaan kepada orang kampung bahawa kelahiran Wani akan menyebabkan kampung tersebut bakal ditimpa musibah berbentuk bencana alam yang maha dahsyat. Namun Allah Maha Berkuasa, sehingga kini kampung Bara tidak pernah dilanda musibah seperti banjir atau kemarau.
Biarlah mereka! Dengus hatinya yang enggan melayan sindiran penduduk kampung terhadapnya. Berkat kegigihannya, kini dia sudah memiliki sebuah ladang ternakannya sendiri. Dia banyak menerima bantuan dan bimbingan daripada Tuan Arshad. Jelas Tuan Arshad sangat berbangga dengan keupayaan Wani dan mengundangnya serta orang kampung hadir ke rumahnya bagi meraikan majlis hari jadinya.
Malam itu, berlaku peristiwa yang tidak diduga dan masih segar di bingkai ingatan Wani. Sebaik sahaja Wani dan ibunya bertemu Tuan Arshad. Ibu Munirah tiba-tiba menangis. Pada mulanya, Wani menyangka mungkin ibunya terharu bertemu dengan insan yang banyak membantu kejayaan perusahaannya. Namun, ternyata sangkaannya meleset apabila ibunya mengheretnya pulang sambil mengadu tentang Tuan Arshadlah lelaki tidak bertanggungjawab yang pernah menghamilkan tanpa mahu menikahinya, sebelum meninggalkannya begitu saja pada tiga puluh tahun yang lepas atau dalam erti kata lain ayah kepada Wani. Rupanya, Tuan Arshad sebenarnya sudah mengetahui perkara tersebut namun belum bersedia untuk memberitahunya kepada Wani.
Lamunan silamnya tersentak apabila disapa oleh satu-satunya anak lelaki Tok Halim, iaitu Shahir. Shahir datang ke ladang ternakannya dengan riak muka masam mencuka.
“Ada hal apa kau datang ke ladang ternakan aku lewat petang sebegini?” soal Wani kepada Shahir dengan dahinya yang berkerut, hairan melihat kelakuan dan riak muka Shahir.
Rupanya sekarang Tok Halim sakit tenat akibat daripada serangan penyakit jantung. Tok Halim mahu bertemu Wani dan ibunya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Wani bergegas pulang ke rumah dan meminta ibunya bersiap untuk pergi ke rumah Tok Halim selepas solat maghrib. Sampai sahaja di rumah Tok Halim, isteri Tok Halim terus menjemput Wani dan ibunya ke bilik Tok Halim. Penduduk-penduduk kampung sudah berkumpul di ruang tamu kediaman Tok Halim sambil membacakan ayat-ayat Quran. Wani agak terkejut melihat muka Tok Halim yang pucat lesu, kaki dan perut Tok Halim pula kelihatan bengkak dan sekali sekala kedengaran suara nafasnya yang tercungap-cungap.
“Tok nak minta maaf. Tok lah yang suruh pemuda kampung curi semua haiwan ternakan kau. Tapi, sekarang mereka sedang pulangkan semuanya... Aku jugalah yang fitnah jualan kuih kau Munirah. Aku tak sanggup lagi hidup dibelenggu dosa. Maafkan Tok Wani. Tok dah tua...” ujar Tok Halim dengan nada suara yang perlahan dan tersekat-sekat, sungguh dia amat menyesali akan semua perbuatannya.
Kemudian, barulah Wani tahu akan punca Tok Halim bersikap bermusuhan dengan keluarganya. Rupa-rupanya, dahulu Tok Halim pernah bercinta dengan Munirah, ibu Wani, dan sempat pula mereka bertunang. Namun, pertunangan itu diputuskan oleh pihak keluarga Munira kerana berharapkan Tuan Arshad yang menunjukkan minat yang tinggi terhadap anak gadis mereka. Oleh kerana sangat malu dan tidak dapat menerima perkara tersebut sehingga kini, Tok Halim memusuhi Wani dan ibunya.
“Saya dah lama maafkan Tok. Tapi kenapa Tok betul-betul benci pada saya? Apa salah saya pada Tok sampai...?” Belum sempat Wani menghabiskan kata-katanya, Tok Halim sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Alhamdulillah syukur, hasrat Tok Halim untuk meminta maaf kepada Wani dan ibunya tertunai jua sebelum dia melelapkan mata untuk selama-lamanya. Wani, ibu Munirah serta semua penduduk kampung membaca tahlil secara berjemaah bagi mendoakan kesejahteraan Tok Halim di akhirat sana. Malam itu, setelah pulang dari rumah Tok Halim, Wani asyik merenung rantai yang terkalung di lehernya, sekejap dia berbaring di atas katilnya menghadap ke kanan dan sekejap menghadap ke kiri. Dia berfikir sejenak apakah yang patut dia lakukan dengan sebutir batu putih yang diberikan Tok Halim kepadanya suatu ketika dahulu. Hendak dibuang sayang kerana pemberian batu putih itulah yang menyebabkan dia berjuang bersungguh-sungguh.
Sewaktu awan-awan di langit mula ditembusi pancaran cahaya matahari, burung-burung mula berkicau dan berterbangan keluar dari sarang bagi mencari rezeki, Wani telah pun bersiap dan menuju ke ladang ternakannya. Jelas sekali hatinya gembira melihat kejayaan perusahaan ternakannya sambil menaburkan dedak dari setiap reban ke reban yang lain. Dia bersyukur atas setiap nikmat yang dikurniakan Tuhan kepadanya. Dia mengambil keputusan untuk membuang rantai  yang diikatkan sebutir batu putih pemberian Tok Halim kepadanya kerana dia yakin bahawa selama ini tuhanlah yang telah membantunya dalam melalui rantaian demi rantaian kehidupan yang penuh dengan dugaan. Wani beredar dari ladang ternakannya dengan penuh bangga kerana akhirnya dia berjaya membuktikan wanita berlainan upaya juga mampu berjaya dalam bidang perusahaan ternakan.

Read more...

Cerpen Potret Jiwa

0 comments


POTRET JIWA
SHAHIRAN RUSLAN

Kedengaran suara tangisan anak-anak kecil merengek-rengek di dapur. Di tambah lagi dengan bunyi cengkerik yang saling bersahutan memecahkan kesunyian malam di perumahan Izzaty. Izzaty memarahi anak-anaknya di hadapan juadah makan malam mereka, telur dadar berserta nasi goreng yang terhidang di atas meja makan. Suami dan ibu Izzaty hanya senyum sahaja melihat tindakannya kerana mereka tahu benar alasan Izzaty berbuat demikian. Izzaty memaksa anak-anaknya makan hidangan makanan yang telah dimasak sehingga habis. Usai makan malam, anak-anaknya naik ke bilik untuk mengulangkaji pelajaran manakala Izzaty seperti biasa membasuh pinggan yang telah kotor dengan dibantu oleh suaminya. Suaminya menyapanya kerana melihat Izzaty menitiskan air mata jernih yang jatuh bercucuran sedikit demi sedikit setelah lama bertakung di kelopak matanya.
            “Sayang.., janganlah nangis. Sayang memang dah lakukan tindakan yang patut dibuat oleh semua ibu.” tutur suaminya dengan nada yang lemah lembut cuba memujuk.
            “Tapi abang, saya sebenarnya tak sampai hati nak marah mereka. Cuma saya rasa saya seperti gagal mendidik anak kita. Abang bayangkan. Setelah penat saya masak, mereka boleh buang telur dadar tu tanpa rasa bersalah. Selama ini, saya terlalu manjakan mereka dengan masak makanan kegemaran mereka sahaja.” rintih Izzaty dengan suara sebak menahan kesedihan yang sarat di jiwa.
            “Janganlah macam tu, abang pun sama. Abang terlalu leka memenuhi segala permintaan anak-anak sehingga lupa untuk mendidik mereka erti bersyukur. Selepas ni, kita sama-sama cuba didik mereka dengan ajaran dan tuntutan agama ya.” ujar suaminya untuk menenangkan kepiluan hatinya.
            “Terima kasih abang. In shaa Allah, saya akan berusaha didik anak kita.” Izzaty memeluk suaminya erat selepas selesai mencuci dan menyusun pinggan.
 Dalam dakapan suaminya, Izzaty teringat akan potret hidup silamnya yang cukup pahit dan getir. Masakan tidak, dia bukanlah seorang anak yang dilahirkan dalam keluarga yang berada mahupun bahagia. Izzaty boleh dikatakan kanak-kanak yang paling miskin di kampungnya. Apa yang lebih menyedihkan lagi, bapanya telah pergi meninggalkan ibunya keseorangan di rumah pusaka neneknya yang usang kerana tidak tahan hidup dengan kemiskinan. Dia diasuh dan dibesarkan oleh seorang ibu yang tegas dan bersemangat kental. Segala pendapatan harian mereka diperoleh melalui hasil jualan kuih-muih ibunya di hadapan rumahnya.   
Ketika di bangku sekolah rendah lagi, bermacam-macam dugaan yang telah dia tempuhi. Sejak darjah satu, Izzaty tidak pernah diberikan wang belanja. Ibunya memintanya menahan lapar di sekolah sehingga petang kerana mereka perlu berjimat cermat untuk mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar. Setiap pagi, dia akan mengisi perutnya yang lapar dengan hanya minuman air botol yang dibawanya dari rumah. Sekalipun tidak pernah terlintas di hatinya untuk mengeluh dengan takdir dan nasib yang menimpa dirinya. Peristiwa pahit yang masih segar di memori ingatannya adalah apabila dia diejek oleh rakannya sebagai anjing jalanan.
“Hoi anjing jalanan! Cari makanan ke.., kesian. Haha!” herdik rakan-rakan sekelasnya sambil tertawa mengejek ketika Izzaty sedang leka mencari makanan di sebalik timbunan tong sampah.
Izzaty hanya diam tanpa bicara sambil mengesat air matanya yang berlinangan di pipi. Saat itu dia terpaksa mencari makanan di tong sampah kerana sudah tidak kuat menahan perut berkeroncong lapar. Izzaty sudah serik dengan tingkah laku rakan-rakan yang suka menghinanya. Dia sedar dia cuma anak yatim lagi miskin yang tidak punya tempat untuk mengadu kasih. Dia tidak mahu memberitahu kepada ibunya tentang perkara tersebut kerana gusar ibunya akan lebih berasa tertekan dan terbeban dengan masalah sedia ada. Dia mengambil keputusan untuk hanya mendiamkan diri.
Apabila meningkat ke alam remaja, Izzaty sedar akan keadaan keluarganya dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh. Guru-guru di sekolah sangat menyanjunginya kerana dia merupakan seorang murid yang cemerlang dan bersahsiah mulia. Keadaan tersebut menyebabkan ramai rakan sekelas cemburu dengan kelebihannya. Tidak ramai yang ingin berkawan dengannya setelah mengetahui status keluarganya. Menjelang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, Izzaty telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik peringkat daerah Batu Pahat, Johor. Izzaty telah ditawarkan untuk meneruskan pengajian ke salah sebuah Universiti Awam di Malaysia. Namun, hasratnya terpaksa dilupakan disebabkan kesempitan kewangan yang melanda ibunya secara tiba-tiba.
“Ibu, berhentilah menangis. Jangan risau. Izzaty tak nak belajar di Universiti. Izzaty sambung belajar di tingkatan enam sahaja nanti.” pujuk Izzaty melihat ibunya yang menangis kerana jualan kuih ibunya sudah tidak laku lagi.
“Maafkan ibu nak. Ibu tak sangka jadi begini. Sudah seminggu ibu berniaga. Tapi, tiada seoran pun orang kampung yang datang membeli.” luah ibunya kesal dengan bala yang menimpa.
“Ibu janganlah cakap macam tu, dah tak ada rezeki. Kita ikhtiar cara lain ya ibu. Izzaty pasti mesti ada hikmah di sebalik perkara yang terjadi. Allah kan maha adil.”
Sememangnya ibu Izzaty langsung tidak menjangka bahawa rupa-rupanya perniagaan kuihnya telah disantau oleh kedai yang turut menjual kuih berhampiran dengan kedainya. Hal ini diketahuinya setelah pelanggan tetapnya bertanya mengapa dia tidak menjual kuih selama seminggu semasa berjumpa di pasar. Begitulah tabiat orang kita, penuh dengan hasad dengki sehingga sanggup bertuhankan syaitan. Ibu Izzaty sedikit pun tidak berdendam malahan mendoakan supaya orang yang menyihir kedainya akan diberikan petunjuk oleh yang maha esa. Kini, sumber utama keluarga Izzaty adalah wang yang diperoleh melalui upah menjahit baju di kampungnya. Ramai yang menghantar pakaian untuk dijahit kepada ibunya disebabkan kadar upahnya yang murah serta hasil jahitan yang kemas dan memuaskan.
“Mak! Ohh.., Mak. Izzaty dapat sambung belajar di UPM.” teriak Izzaty kepada ibunya setelah menerima mesej di telefon bimbitnya.
“Alhamdulillah. Syukur kepada tuhan. Tak sia-sia kau sambung belajar di tingkatan enam. Mak bangga dengan kau.” balas ibunya dengan wajah sebak menahan kegembiraan.
Kini, Izzaty bergelar mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengambil bidang bacelor pendidikan bahasa Melayu. Pihak sekolah sangat bangga dengannya kerana Izzaty merupakan murid pertama sekolahnya yang berjaya menempa nama di menara gading yang gah. Izzaty ditawarkan dengan biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas kecemerlangannya yang mendapat gred dekan pada setiap semester. Namun, nikmat tuhan yang diberikan sedikit pun tidak pernah dikufuri. Izzaty sentiasa bersyukur dengan  memberikan sebahagian daripada wang biasiswanya kepada ibunya di kampung serta membelanja rakan-rakannya yang tidak mempunyai duit untuk makan.     
            Ibu dah tak tahan nak. Maksu kamu datang setiap hari ke rumah menghalau ibu supaya berpindah ke tempat lain.” ibu Izzaty menelefonnya untuk memberitahu bahawa dia sudah tidak tahan dengan perangai adiknya yang tamak mahukan rumah pusaka keluarga mereka dijual dengan harga yang lumayan.
            “Bersabarlah ibu. Hujung minggu ni Izzaty balik. Nanti Izzaty cuba berbincang dengan maksu ya.” ujar Izzaty cuba menenangkan hati ibunya yang gundah gulana.
            Izzaty kenal benar dengan ibunya. Dia sedar bahawa ibunya bukan risaukan rumahnya akan dijual oleh maksunya. Tetapi, dia tahu bahawa ibunya seorang yang sangat menitikberatkan soal amanah. Ibunya takut sekiranya amanah arwah neneknya yang mewasiatkan supaya ibunya akan menjaga rumah pusaka tersebut tidak dapat dilaksanakan angkara maksunya yang tamak haloba tanpa mengira dosa dan pahala.
            Setelah fajar sidik mengintai, cahaya mentari mula menyinari bumi. Pada hari ahad bersempena dengan cuti pertengahan semester, Izzaty dan ibunya telah menjemput maksunya untuk hadir ke rumahnya bagi berbincang mengenai soal rumah pusaka tersebut. Tepat jam 9 pagi, maksunya hadir bersama suaminya dengan menaiki kereta Honda Accord yang baru dibeli bulan lepas.
            “Maafkan akak adik, akak tak setuju adik nak kita jual rumah pusaka ni. Inikan harta peninggalan arwah mak.” tutur mak pada maksu menjelaskan keadaan yang sebenar.
            “Akak kena faham. Adik jual pun bukan sebab nak jadi kaya raya. Adik terdesak perlukan duit nak bayar hutang beli kereta baru tu.” balas maksu menerangkan situasi kewangan yang menghimpit dirinya dengan wajah yang resah.
            “Akak dah agak dah. Ini semua mesti sebab laki kau. Sedarlah dik. Ukurlah baju di badan sendiri. Jangan sebab kau ikutkan kehendak suami kau sampai tanah mak kita kau nak gadaikan. Kau sedar tak mak dah banyak berkorban untuk kau. Semua gelang dan rantai emas mak serah kat kau. Habis kau jual sebab nak senangkan laki kau. Sekarang rumah yang mak amanahkan akak jaga ni pun kau nak gadai! Kau tak ingat akhirat ke dik”
            Maksu mula menitiskan air mata. Dia mula sedar akan kesilapannya yang terlalu menuruti kehendak suaminya. Dia menyesal dan terus bangun memeluk serta mencium tangan ibu memohon maaf atas kesalahannya. Dia berjanji akan berubah dan menukar semula kereta yang baru dibelinya dengan kereta yang lebih murah. Kini, segala permasalahan yang dipikul di pundak ibu sudah selesai. Izzaty telah menamatkan pengajiannya dan bekerja sebagai seorang guru bahasa Melayu. Di sekolah tempat Izzaty mengajar, dia bertemu dan berkahwin dengan guru lelaki yang turut sama mengajar subjek bahasa Melayu.
            Lamunan Izzaty tersentak setelah suaminya melepaskan pelukannya dan mengajaknya untuk berbual di bilik tidur. Izzaty mengelap air matanya yang mulai kering dan tersenyum tatkala mengimbau kembali potret hidupnya yang penuh dengan liku-liku ranjau kehidupan.
            “Amboi.., tersengih-sengih ni ada apa-apa ke ni.” soal suaminya sambil mencuit pipinya yang gebu.
            “Saya cuma teringat kehidupan silam saya. Syukur kepada tuhan. Banyak nikmatnya yang telah dikurniakan kepada kita. Saya harap sangat agar kita boleh didik anak-anak kita supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.” balas Izzaty menjawab persoalan yang dikemukakan suaminya.
            Malam itu, Izzaty tidur lena dibuai desiran angin potret hidupnya yang kini telah dicoreti pelbagai kenangan suka dan duka di samping suami tercinta. Begitulah potret hidup Nurul Izzaty.



Read more...

Cerpen Seram Penunggu Asrama

0 comments





Karya 
Seram
Pertama 
Penulis


Misteri 

Penunggu

Asrama!!!


#Adaptasi
KisahBenar




MISTERI PENUNGGU ASRAMA
SHAHIRAN  RUSLAN

Keheningan pagi itu ditampar dengan suara riuh rendah di pasar awam, semua orang berpusu-pusu membeli barang keperluan harian seperti makanan mentah dan barang dapur. Aku singgah sebentar di pasar bagi membeli buah-buahan. Semasa aku sedang berjalan, aku merasakan seolah-olah ada orang yang mengekoriku. Namun, aku cuba melawan perasaanku kerana menganggap mungkin mainan naluri aku sahaja. Aku berasa kurang senang lantas memantaskan pergerakanku. Sewaktu aku sedang asyik memilih buah-buahan, terasa tangan seseorang sedang menepuk belakang badanku.
“Laa.., Pak Imam. Saya ingat siapa tadi. Terkejut saya.” ujarku dengan wajah lega.
“Maafkan saya. Ustaz jalan laju sangat. Tak sempat saya nak tegur. Bagaimana dengan keadaan asrama sekarang?” soal Pak Imam kepadaku.
“Alhamdulillah. Semuanya terkawal. Terima kasih sekali lagi atas bantuan Pak Imam lima tahun yang lepas.” balasku dengan wajah yang tenang. Perbualan kami terhenti disitu, kami berjabat tangan dan aku pergi menuju ke kereta Perodua Bezza yang baru kubeli. Semasa sedang memandu pulang ke asrama. Aku terkenang akan peristiwa seram yang berlaku lima tahun lepas. Peristiwa hitam yang sentiasa berlegar di ingatanku dan tidak pernah pudar dari coretan masa silamku.
Aku merupakan seorang guru yang baru berpindah ke sebuah sekolah di daerah Jelebu. Aku diamanahkan untuk menjadi warden bagi menjaga anak-anak murid yang tinggal di asrama. Di sekolah, aku lebih dikenali sebagai Ustaz Shah kerana mengajar subjek pendidikan islam. Aku membawa isteri dan anakku tinggal di asrama tersebut. Aku berasa sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama aku menjadi warden.
“Salam perkenalan anak-anak murid sekalian. Saya merupakan warden baharu kamu dan saya harap kamu semua dapat memberikan kerjasama sepanjang saya menjaga kamu disini.”
Aku mengumpulkan semua murid asrama di dewan bagi mengenali mereka dengan lebih mendalam. Aku membuka ruang bagi mereka menyatakan permasalahan yang mereka hadapi. Seorang demi seorang meluahkan dan menyatakan pendapat atau pandangan mereka sehinggalah ketua asrama puteri bersuara.
“Saya Siti Solehah. Saya merupakan Kapten Asrama Puteri. Saya harap ustaz dapat membantu menyelesaikan gangguan hantu di asrama kami. Kami takut.” luah Solehah dengan nada yang penuh ketakutan.
“Baiklah. Kamu jangan khawatir. Saya akan cuba sedaya upaya”. Pada masa itu, aku menganggap ini merupakan perkara remeh-temeh sahaja. Maklumlah di mana-mana tempat mesti ada makhluk lain. Jadi aku fikir mungkin budak Solehah ini cuma melayan perasaan takutnya sahaja.
Keesokan harinya, aku pergi ke sekolah dengan wajah yang ceria. Ini merupakan hari pertama aku mengajar di sekolah tersebut yang terletak jauh di pedalaman desa. Sewaktu hendak pulang ke asrama, bekas warden asrama tersebut iaitu Cikgu Adam menyapaku dengan dahinya yang berkerut.
“Maaf menganggu Ustaz Shah. Bagaimana perasaan jadi warden?” soal Cikgu Adam kepadaku seolah-olah ada perkara yang tidak kena.
“Alhamdulillah. Semuanya baik-baik sahaja. Buat masa ini. Belum ada lagi masalah disiplin yang berlaku”. jawabku sambil berkata mengapa beliau bertanyakan soalan tersebut.
“Err.., Saya bukan apa Ustaz. Asrama tu. Emm.., berhantu! Saya berhenti jadi warden pun sebab dah tak tahan asyik diganggu.” ujar Cikgu Adam dengan nada terketar-ketar.
“Ohh.., jangan takut. Semua tempat ada makhluk tersebut. Makhluk yang hidup di dunia ini sebenarnya bukan manusia sahaja, malah ada malaikat, jin, syaitan dan sebagainya.” Balasku panjang lebar dan memohon izin untuk beredar pulang ke asrama.
 “Cikgu Adam mesti saja nak takutkan aku. Aku tengok asrama itu elok sahaja. Tiada apa yang perlu ditakutkan.” bisik hatiku sambil menggelengkan kepala.
 Waktu petangku diisi dengan bermain takraw bersama-sama murid di bahagian hujung asrama berdekatan dengan bangunan lama asrama yang telah terbakar. Tepat jam 6.00 petang. Semua murid pulang ke bilik masing-masing bagi membersihkan diri mereka. Aku menimbang bola takraw seorang diri kerana belum puas bermain.
Tiba-tiba! Aku melihat kelibat seorang budak lelaki yang melambai tangannya ke arahku dari arah bangunan lama tersebut.
“Hoi! Kamu buat apa di sana. Balik ke bilik kamu sekarang!” arahku dengan nada yang tinggi. Namun budak lelaki tersebut tidak mengendahkan jeritan arahanku.
“Ini mesti kes murid lelaki cuba merokok dekat bangunan lama tersebut. Aku kena cepat pergi siasat.” aku bermonolog seorang diri.
Sebaik sahaja aku sampai di hadapan bangunan lama, aku melihat tiada sesiapa yang berada di situ. Aku menyangka mesti mereka sudah berjaya melarikan diri ke bilik. Kali ini aku lepaskan mereka, lain kali siaplah!
Kedinginan malam tersebut memaksa aku tidur lebih awal. Aku berhenti menyemak buku latihan murid dan mengambil keputusan pergi ke bilik tidur.
“Haihhh.., tak tidur lagi ya. Tidurlah sayang. Dah lewat ni. Berhentilah tengok tv tu.” ujarku kepada anakku yang sedang asyik menonton kartun kegemarannya.
Sebaik sahaja aku sampai ke bilik. Alangkah terkejutnya aku melihat anakku sedang nyenyak tidur bersama isteriku. Pelbagai persoalan bermain di gawang mindaku. Siapakah budak kecil yang menonton tv tadi. Adakah aku berkhayal. Aku cuba memberanikan diri untuk pergi ke ruang tamu melihat sama ada anakku sedang menonton tv atau tidak.
“Tiada! SubhanAllah. Aku melamun rupanya. Haihhh.., penat sangat tanda kertas lah ni.” keluhku masih cuba positif dengan kejadian yang menimpaku sebentar tadi.
Malam itu angin bertiup agak kencang, suara gonggongan dan nyalakan anjing di belakang pagar asrama agak menyeramkan. Di tambah lagi pancaran bulan yang mengambang, sedikit sebanyak menggigit rasa seram di benakku.
“Ustaz.., Ohh Ustaz!” kedengaran suara murid sedang mengetuk pintu rumahku dengan nada yang agak cemas.
Sebaik sahaja aku menjengah ke luar, aku melihat Safwan Ketua Asrama Putera bersama dengan beberapa murid lain sedang menangis dan menggigil ketakutan. Safwan menceritakan segala perkara yang terjadi. Suasana asrama pada malam itu sungguh menyeramkan. Kedengaran suara murid perempuan menjerit-jerit di beberapa buah bilik dan seorang murid lelaki telah dirasuk. Aku sangat buntu pada masa itu, pada Allah saja aku meminta pertolongan. Aku segera menelefon Cikgu Izzaty warden asrama puteri untuk mengumpulkan semua murid di surau. Di sana, aku mengarahkan semua murid membaca ayat al-quran dan beberapa murid lelaki melaungkan azan. Murid yang dirasuk dan terkena histeria aku kumpulkan di hadapan surau. Tanpa melengahkan masa, aku segera menelefon Pak Imam Haji Halim untuk meminta bantuan kerana dia seorang sahaja yang aku kenal di kampung berdekatan.
“Apa yang kau mahu! Keluarlah kau wahai bangsa iblis. Kami tidak pernah menganggu kau!” Pak Imam cuba berinteraksi dengan makhluk halus yang masuk ke dalam tubuh murid lelaki yang dirasuk.
“Aku tidak mahu. Aku suka tinggal di sini. Ini rumah aku. ” jawab makhluk halus tersebut dengan intonasi suara yang kasar dan garau.
Pak Imam lantas membacakan beberapa ayat suci al-quran dan berdoa kepada Allah. Alhamdulillah. Murid yang dirasuk tersebut kembali pulih seperti asal. Murid-murid perempuan yang terkena histeria juga berhenti menjerit dan keadaan di surau asrama pada masa itu kembali tenang.
“Ustaz Shah. Ke sini sekejap.” ucap Pak Imam kepadaku.
Pak Imam menceritakan segala yang terjadi. Menurut beliau, makhluk tersebut bukanlah iblis tetapi bangsa jin. Mereka suka menganggu murid-murid kerana mereka selesa dan seronok tinggal di kawasan asrama tersebut. Hal ini kerana keadaan asrama puteri sangat busuk dan kotor. Murid perempuan suka membuang tuala wanita mereka yang dipenuhi  darah merata-rata tempat. Sampah pula tidak disapu dan dibiarkan berlonggokan di bilik. Begitu juga dengan murid lelaki, keadaan bilik berbau dan bersepah. Kegiatan murid yang gemar merokok di belakang asrama juga sedikit sebanyak menarik minat makhluk jin tinggal bersama mereka kerana asap merupakan makanan mereka.
“Sekarang baru saya sedar Pak Imam. Tetapi, mengapa ramai sangat murid yang terkena histeria?” soalku kebingungan.
“Mudah saja. Bangunan asrama lama tersebut merupakan kediaman baru mereka. Bangsa mereka sudah mula menetap di sana. Jadi, memang mudah untuk mereka menganggu murid-murid yang tinggal di asrama.
Setelah semuanya selesai, Pak Imam berlalu pergi dan sempat berpesan kepadaku agar menghidupkan suasana agama di asrama. Namun ada satu pesanannya yang menghantui fikiranku. Pesanan yang melibatkan orang yang sangat kusayangi.
“Jaga anak Ustaz elok-elok, anak-anak mereka sudah mula suka bermain dengan anak Ustaz.” bisik ustaz dengan suara yang halus di cuping kiri telingaku.
Bisikan pesanan Pak Imam bagaikan halilintar yang menyambar perasaanku. Aku tergamam seketika. Pesanannya menguatkan silogisme akalku yang kuat mengatakan anakku telah diganggu. Sejak kebelakangan ini, aku kerap mendengar anakku bercakap seorang diri di dalam biliknya. Apabila ditanya, dia akan menjawab dia seronok berbual dengan kawannya dan kawannya ingin tinggal bersama-sama dengan kami.
Keesokan malamnya, kami membuat bacaan Yaasin dan solat hajat meminta pertolongan Allah agar dijauhkan daripada segala kejahatan jin dan syaitan. Aku mula memperkenalkan rutin harian baru bagi menghidupkan roh agama dalam jiwa semua murid. Setiap kali usai solat maghrib, semua murid akan solat hajat dan baca al-quran berjemaah sehingga tiba waktu isyak. Manakala sebelum tidur pula, murid lelaki akan bergilir-gilir membaca surah As-Sajdah dan Al-Mulk di pondok pengawal dengan menggunakan pembesar suara. Selain itu, ketua asrama putera dan puteri perlu melaporkan kebersihan setiap bilik kepada warden sebelum jam 11 malam. Pengawal keselamatan pula wajib meronda sekitar kawasan asrama pada lewat malam bagi mengelakkan murid melakukan hal yang tidak senonoh dan merokok.
Alhamdulillah. Kini genap lima tahun aku menjadi warden asrama. Tiada lagi gangguan makhluk halus yang terjadi. Namun, ada satu perkara yang sering meragut lena tidur malamku. Anakku masih suka berbual seorang diri di biliknya. Pelbagai cara sudah kuikhtiarkan. Berjumpa doktor kesihatan, rawatan islam dan berubat cara kampung.  Persoalannya kini, bagaimanakah caranya aku boleh menyelesaikan masalah anakku? adakah aku patut terus tinggal di asrama atau pindah sahaja ke tempat lain? Sesungguhnya pada Allah jualah aku sebagai hamba memohon pertolongan.

Read more...

Cerpen Belaian Memori

0 comments


BELAIAN MEMORI
OLEH TENGKU SHAHIRAN TENGKU RUSLAN

Kedengaran bunyi bising di luar premis seakan-akan terdapat sedikit perselisihan faham antara pekerja dan pelangganku. Aku adalah Hisham. Pemilik perniagaan Stesen Minyak Petronas terbesar di salah sebuah daerah di Negeri Sembilan. Syarikat ini  merupakan wakil perusahaan kepada Petronas Dagangan Berhad (PDB) yang mana setiap operasi dan kegiatan di stesen mesti mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Petronas Dagangan Berhad.  Antara produk utama yang dijual adalah Primax 97, Ron 95 dan Diesel serta barangan runcit di Kedai Mesra sebagai jualan sampingan.
            “Ada masalah apa ini?” soal aku kepada pekerjaku.
“Begini Encik Hisham, pelanggan ini tiba-tiba melenting kerana saya tertumpahkan minyak ke sisi keretanya.” Jawab pekerjaku dengan nada terketar-ketar. Sebaik sahaja pelanggan tersebut menoleh ke belakang, jantungku tiba-tiba berdegup kencang seolah-olah orang yang berdiri di hadapanku ini merupakan orang yang sangat aku kenali.
“Cikgu Jalal!” aku lantas berteriak kerana terlalu gembira berbaur kesayuan.
“Ya Allah, ini kamu ke Hisham. Gembiranya Cikgu bertemu kamu. Setelah hampir 20 tahun Cikgu tidak mendengar khabar kamu. Alhamdulillah, kamu berjaya mencapai cita-cita kamu sekarang. Boleh Cikgu peluk kamu Hisham. Cikgu sangat rindu dengan kamu.” Ini merupakan kali kedua aku menerima pelukan daripada seseorang yang sudah kuanggap sebagai seorang bapa. Pertemuan dengan Cikgu Jalal mengembalikan ingatan memori silamku semasa zaman sekolah  dahulu. 
Jarum jam menunjukkan 5.30 pagi. Seperti biasa Nenek Su mengejutkanku untuk membersihkan diri dan mengerjakan solat subuh.
“Sudah Nek Su, saya datang ni.” Aku pun seperti biasa membantu Nek Su menoreh getah sehingga jam 7.30 pagi. Kemudian, pulang ke rumah bersiap untuk ke sekolah dengan menaiki basikal peninggalan arwah atok.
“Hisham kamu tunggu, mengapa kamu datang lambat lagi ke sekolah?” tanya Cikgu Jalal yang merupakan cikgu disiplin di sekolah.
“Maafkan saya Cikgu Jalal. Sebenarnya pagi tadi saya terbangun lambat sebab emm.., sebab saya terlupa kunci jam cikgu,” jawabku dengan perasaan yang malu.
“Kali ini saya lepaskan kamu, lain kali jika saya dapat tahu kamu lambat lagi, saya akan pastikan kamu mendapat hukuman yang setimpal. Faham hisham! satu amaran keras daripada Cikgu Jalal menampar rasa kesal dibenakku.”
 "Sekejap Hisham, kenapa pakaian kamu lusuh dan kasut kamu kelihatan sangat kotor. Orang tua kamu tak tegur pakaian kamu ke sekolah?” soal cikgu lagi.
“Saya selalu lupa membasuh pakaian dan kasut saya cikgu,” jawapan yang aku berikan membuatkan Cikgu Jalal semakin geram denganku. Padahal aku sudah memakai baju seragam ini sejak dari tingkatan satu lagi dan inilah satu-satunya kasut yang aku gunakan untuk ke kebun, kelas dan bersukan.
 “Sudah, pergi masuk ke kelas! Kalau ada masalah beritahu saya!” pesan Cikgu dengan nada tegas. Aku pun masuk ke kelas dengan muka yang tebal menahan malu.
“Ini mesti kes engkau kena tegur dengan Cikgu Jalal sebab datang lambat lagi ke sekolah kan. Soal Shahir rakan karibku yang melihat kesedihan di raut wajahku.
“Aku sebenarnya sedih, Cikgu tegur pakaian aku lepas tu tanya orang tua aku tak ambil berat ke pasal pakaian aku ni. Kau pun tahukan aku agak sensitif  bila orang sebut-sebut tentang orang tua aku,”
“Ohh.., patutlah. Aku dah agak dah, mesti ada yang tak kena dengan kau pagi ni. Masakan pokok bergoyang jika tiada angin yang tiup kan.”
“Elleh.., geli pulak aku dengar engkau berpuitis pagi ni.” 
“Aku nak tanya sikitla Hisham. Kenapa la kau tak beritahu perkara sebenar kat Cikgu Jalal. Yelah, sekurang-kurangnya Cikgu akan lebih faham keadaan kau,” soal Shahir bagi mendapatkan kepastian.
“Habis kau nak aku beritahu apa kat Cikgu Jalal. Beritahu yang aku tinggal dengan nenek, setiap pagi aku kena pergi toreh getah, orang tua aku dah bercerai, ayah aku balik negara asalnya dan mak masuk Hospital bahagia gara-gara tekanan jiwa? Macam tu ke Shahir!” nada suaraku sebak menahan linangan kelopak mataku yang berair.
“Aku minta maaf la Hisham. Aku tak ada niat nak buat kau sedih. Cuma aku geram sikit bila Cikgu Jalal dengan cikgu-cikgu lain suka marah kau,” ujar Shahir serba salah.
Kedengaran bunyi loceng berdesing menandakan waktu rehat bagi semua murid. Aku dan Shahir duduk bersama bagi menjamah bekalan nasi goreng ayam yang dibawa oleh Shahir dari rumah. Tiba-tiba! Zul hadir dari arah belakang dan menolak aku jatuh ke lantai.
 “Hoi Zul! kenapa kau tolak Hisham. Kau tak nampak ke dia tengah makan,” soal Shahir dengan muka merah padam.
“Amboi, bukan main berlagak kau ye. Kau tahu kan Zul ni anak Penghulu Kampung. Suka hati dialah nak buat apa,” ujar Zin yang merupakan teman rapat Zul.
“Tak apa Shahir, sikit je ni. Kita pergi makan tempat lain ye,” pujuk aku bagi menenangkan kemarahan Shahir.
“Cukuplah Hisham. Aku dah tak tahan dengan perangai sombong dan bongkak anak Penghulu kampung ni. Dia buli kau sejak dari tingkatan satu lagi. Hari ni, aku akan pastikan dia menyesal dengan setiap perbuatan yang dia dah buat kat kau.”
“Aku hairanlah tengok kau ni Shahir. Apa yang kau dapat bergaul dengan Si Hisham ni. Bapak kau orang terkaya dan disegani di kampung. Kau patut jaga nama baik keluarga kau dan elakkan berkawan dengan sampah masyarakat ni. Taraf kau dengan hisham tak ubah seperti langit dan bumi,” jelas Zin dengan mimik muka yang berlagak.
 “Ya memang.., memang aku mengaibkan. Memang aku sampah masyarakat. Maaf kalau aku susahkan kau berdua. Aku tak pernah minta hidup cam ni.” air mataku sudah mula berjujuran di pipi.
“Kau berdua dengar sini. Aku beri kau amaran terakhir. Kalau aku nampak selepas ni kau buli atau hina Hisham. Nahas kau berdua aku kerjakan!” herdik Shahir bagi melepaskan amarah yang terpendam dalam darah mudanya.
“Apa kau merepek ni Shahir. Kalau kau kata aku buli dia aku mengaku. Tapi, kalau kau kata hina dia aku kurang setuju. Aku tak rasa aku hina tapi aku cuma sampaikan kebenaran,” jelas Zul.
“Betul apa yang Zul katakan tu. Kami berdua tak pernah hina Hisham. Aku rasa tak salah kalau kami nak cakap yang Si Hisham ni anak..,” satu penumbuk padu hinggap ke muka Zin.
 “Dah cukup! rayuku dengan tangisan yang teresak-esak. Ya memang aku, memang aku anak luar nikah, memang bapa aku pendatang asing, memang mak aku sakit jiwa. Tapi aku tetap sayang mereka sebab tanpa mereka aku takkan ada kat dunia ni. Aku tak faham apa salah aku sampai kau berdua benci sangat kat aku.” rintihku menahan gelora jiwa yang sarat menahan kesedihan.
Tanpa disedari, seorang pengawas telah melaporkan kepada Cikgu Jalal bahawa kami berempat bergaduh dan berkelahi di kantin. Oleh itu, kami dipanggil ke bilik disiplin untuk disoal siasat. Ahli lembaga disiplin bersepakat dan bersetuju untuk menghubungi penjaga kami. Kami semua disebat sebanyak tiga kali oleh pengetua sekolah.
Di suatu malam yang hening, terakam perbualan aku dengan Nenek Su.  “Nenek Su, boleh tak Hisham pergi ke rumah Shahir mengulang kaji pelajaran?”
“Buat apa kamu  belajar. Nenek takda duit nak sara perbelanjaan kamu jika kamu masuk universiti nanti. Kamu suka atau tidak, lepas habis belajar, kamu kena bantu nenek menoreh getah dan menjual kuih. Lupakanlah cita-cita kamu nak jadi ahli perniagaan berjaya tu.” celoteh Nenek Su panjang lebar.
            “Nenek Su tak perlu risau. Semua urusan pembiayaan Universiti nanti PTPTN yang tanggung. Lagipun, simpanan biasiswa Petronas yang Hisham ada sekarang masih banyak lagi. In shaa Allah boleh tampung perbelanjaan harian Hisham nanti. Nenek mengalah diam tanda bersetuju. Keesokan harinya, sewaktu di sekolah.
            “Hisham. Saya nak tanya ni. Kenapa kamu tak bawa orang tua kamu sekali ke majlis mohon restu sempena menghadapi Peperiksaan SPM?” soal Cikgu Jalal.
“Errr.., untuk pengetahuan cikgu, saya sebenarnya tinggal bersama nenek di rumah dan keluarga saya...” Aku menerangkan keadaan sebenar keadaan hidupku panjang lebar.
            Tiba-tiba, air mata Cikgu Jalal jatuh berlinangan. “Maafkan cikgu, selama ini saya tak tahu tentang keadaan hidup keluarga kamu. Kenapa kamu tak pernah beritahu perkara sebenar kepada Cikgu?” soal Cikgu Jalal sambil mengelap air matanya.
            “Sabar cikgu. Ya, saya mengaku. Memang saya itu ini. Tapi, saya sabar dan redha dengan ketentuan ilahi. Saya ingat lagi ustaz pernah berkata, Allah berfirman dalam surah Al-baqarah ayat 153, hai orang-orang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar. Saya yakin dan percaya bahawa setiap yang berlaku itu mesti ada hikmahnya. Lagipun bukankah agama islam melarang kita membuka atau menceritakan aib kita sendiri” jelasku dengan penuh hormat kepada cikgu.
            Cikgu Jalal memeluk erat diriku bagaikan seorang bapa dengan anak sambil mulutnya membisik ke telingku. Maafkan Cikgu. Itulah kali pertama aku merasakan kehangatan pelukan seorang bapa. Sedikit janggal kurasa, tetapi terasa tenang di jiwa.
Sewaktu Keputusan Peperiksaan SPM diumumkan, aku telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPM peringkat Kebangsaan. Lantaran itu, aku telah melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia dan akhirnya memilih untuk menjadi seorang ahli perniagaan Stesen Minyak Petronas yang berjaya.
Seusai Cikgu Jalal melepaskan pelukannya, lamunan terhadap memori zaman  silam remajaku hilang sekelip mata. Aku merasakan masa sangat pantas berlalu. Cikgu Jalal berlalu pergi dari premisku dengan menaiki Kereta Perodua Axianya yang berwarna merah menyala. Semerah memori indah yang tergamit di sukmaku.













Read more...

Friday, April 3, 2020

Cerpen Tak Kenal Maka Tak Cinta (Dewan Tamadun Islam, Januari 2019)

37 comments


TAK KENAL MAKA TAK CINTA
Oleh Shahiran Ruslan

Di sebalik keheningan dan kedinginan pagi, saat mentari belum siap siaga menyinari alam ini dengan sinaran rahmat Ilahi. Usai solat subuh berjemaah, seperti biasa imam masjid akan membaca beberapa hadis Rasulullah, rasul yang kita cintai dan sanjungi.
“Tiga sifat yang jika ada pada seseorang mukmin maka hatinya tidak akan berdendam, tidak khianat dan tidak ada (sifat buruk yang lain). Pertama, keikhlasan kerana Allah dalam beramal. Kedua, tulus dan setia terhadap ketua. Ketiga, tetap bersama jamaah kerana doa-doa daripada ahli jemaah mengelilingi seseorang itu daripada segenap penjuru (yang menyebabkan seseorang itu terpelihara daripada keburukan syaitan).”
Aku tersentak seketika mendengar bait-bait hadis tersebut. Fikiranku menerawang jauh teringat akan seseorang yang sudah kuanggap sebagai abang, sahabat dan guru. Ya, memang benar. Dia seorang insan yang sangat kukagumi dan hormati. Masakan tidak, jika Allah tidak menghadirkan dia hadir dalam kamus hidupku, sudah pasti aku akan terus hanyut ditenggelami arus tipu daya dunia. Insan istimewa yang kumaksudkan ialah Safwan. Penyuluh di kala mataku buta melalui lorong kegelapan. Penyinar dikala aku jahil menaksir kehidupan.
Pasti ramai yang tidak menyangka kehidupan masa silamku. Waktu tuaku diisi dengan majlis-majlis ilmu di masjid, menguruskan sekolah agama pondok dan bergiat aktif dalam badan-badan NGO yang menjalankan kerja-kerja kebajikan. Jika aku ceritakan, pasti ramai yang terkejut dan terpesona dengan diari silamku. Diari seorang anak jutawan.
Aku seorang insan yang sangat bertuah kerana lahir dalam keluarga yang sangat berada. Hidupku mewah. Katakan apa sahaja yang aku inginkan, pasti akan dituruti. Ketika baru berusia 17 tahun. Aku sudah ke sekolah dengan memandu kereta Honda Civic. Papa memberikan segala keperluan, kesenangan dan kemewahan zahir tetapi tidak batin. Rohaniku seakan-akan tin kosong yang tidak diisi, maka tiada manfaatnya. Semenjak kecil, papalah yang menjaga dan membesarkanku. Bukanlah papa rakus mengejar kebendaan, mungkin rasa tanggungjawab menyebabkan papa bekerja keras membanting tulang untuk memberi kebahagiaan yang secukupnya kepadaku.
Read more...
 
Kembara Musafir © 2020 DheTemplate.com. Supported by