BELAIAN MEMORI
OLEH TENGKU SHAHIRAN
TENGKU RUSLAN
Kedengaran bunyi bising di luar
premis seakan-akan terdapat sedikit perselisihan faham antara pekerja dan
pelangganku. Aku adalah Hisham. Pemilik perniagaan Stesen Minyak Petronas
terbesar di salah sebuah daerah di Negeri Sembilan. Syarikat ini merupakan wakil perusahaan kepada Petronas
Dagangan Berhad (PDB) yang mana setiap operasi dan kegiatan di stesen mesti
mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh pihak Petronas Dagangan Berhad.
Antara produk utama yang dijual adalah Primax 97, Ron 95 dan Diesel serta
barangan runcit di Kedai Mesra sebagai jualan sampingan.
“Ada
masalah apa ini?” soal aku kepada pekerjaku.
“Begini Encik
Hisham, pelanggan ini tiba-tiba melenting kerana saya tertumpahkan minyak ke
sisi keretanya.” Jawab pekerjaku dengan nada terketar-ketar. Sebaik sahaja
pelanggan tersebut menoleh ke belakang, jantungku tiba-tiba berdegup kencang
seolah-olah orang yang berdiri di hadapanku ini merupakan orang yang sangat aku
kenali.
“Cikgu Jalal!” aku
lantas berteriak kerana terlalu gembira berbaur kesayuan.
“Ya Allah, ini
kamu ke Hisham. Gembiranya Cikgu bertemu kamu. Setelah hampir 20 tahun Cikgu
tidak mendengar khabar kamu. Alhamdulillah, kamu berjaya mencapai cita-cita
kamu sekarang. Boleh Cikgu peluk kamu Hisham. Cikgu sangat rindu dengan kamu.”
Ini merupakan kali kedua aku menerima pelukan daripada seseorang yang sudah
kuanggap sebagai seorang bapa. Pertemuan dengan Cikgu Jalal mengembalikan
ingatan memori silamku semasa zaman sekolah
dahulu.
Jarum jam
menunjukkan 5.30 pagi. Seperti biasa Nenek Su mengejutkanku untuk membersihkan
diri dan mengerjakan solat subuh.
“Sudah Nek Su,
saya datang ni.” Aku pun seperti biasa membantu Nek Su menoreh getah sehingga
jam 7.30 pagi. Kemudian, pulang ke rumah bersiap untuk ke sekolah dengan
menaiki basikal peninggalan arwah atok.
“Hisham kamu
tunggu, mengapa kamu datang lambat lagi ke sekolah?” tanya Cikgu Jalal yang
merupakan cikgu disiplin di sekolah.
“Maafkan saya
Cikgu Jalal. Sebenarnya pagi tadi saya terbangun lambat sebab emm.., sebab saya
terlupa kunci jam cikgu,” jawabku dengan perasaan yang malu.
“Kali ini saya
lepaskan kamu, lain kali jika saya dapat tahu kamu lambat lagi, saya akan
pastikan kamu mendapat hukuman yang setimpal. Faham hisham! satu amaran keras
daripada Cikgu Jalal menampar rasa kesal dibenakku.”
"Sekejap Hisham, kenapa pakaian kamu
lusuh dan kasut kamu kelihatan sangat kotor. Orang tua kamu tak tegur pakaian
kamu ke sekolah?” soal cikgu lagi.
“Saya selalu lupa membasuh
pakaian dan kasut saya cikgu,” jawapan yang aku berikan membuatkan Cikgu Jalal
semakin geram denganku. Padahal aku sudah memakai baju seragam ini sejak dari
tingkatan satu lagi dan inilah satu-satunya kasut yang aku gunakan untuk ke
kebun, kelas dan bersukan.
“Sudah, pergi masuk ke kelas! Kalau ada
masalah beritahu saya!” pesan Cikgu dengan nada tegas. Aku pun masuk ke kelas
dengan muka yang tebal menahan malu.
“Ini mesti kes
engkau kena tegur dengan Cikgu Jalal sebab datang lambat lagi ke sekolah kan.
Soal Shahir rakan karibku yang melihat kesedihan di raut wajahku.
“Aku sebenarnya
sedih, Cikgu tegur pakaian aku lepas tu tanya orang tua aku tak ambil berat ke
pasal pakaian aku ni. Kau pun tahukan aku agak sensitif bila orang sebut-sebut tentang orang tua aku,”
“Ohh.., patutlah.
Aku dah agak dah, mesti ada yang tak kena dengan kau pagi ni. Masakan pokok
bergoyang jika tiada angin yang tiup kan.”
“Elleh.., geli
pulak aku dengar engkau berpuitis pagi ni.”
“Aku nak tanya
sikitla Hisham. Kenapa la kau tak beritahu perkara sebenar kat Cikgu Jalal.
Yelah, sekurang-kurangnya Cikgu akan lebih faham keadaan kau,” soal Shahir bagi
mendapatkan kepastian.
“Habis kau nak aku
beritahu apa kat Cikgu Jalal. Beritahu yang aku tinggal dengan nenek, setiap
pagi aku kena pergi toreh getah, orang tua aku dah bercerai, ayah aku balik
negara asalnya dan mak masuk Hospital bahagia gara-gara tekanan jiwa? Macam tu
ke Shahir!” nada suaraku sebak menahan linangan kelopak mataku yang berair.
“Aku minta maaf la
Hisham. Aku tak ada niat nak buat kau sedih. Cuma aku geram sikit bila Cikgu
Jalal dengan cikgu-cikgu lain suka marah kau,” ujar Shahir serba salah.
Kedengaran bunyi
loceng berdesing menandakan waktu rehat bagi semua murid. Aku dan Shahir duduk
bersama bagi menjamah bekalan nasi goreng ayam yang dibawa oleh Shahir dari rumah.
Tiba-tiba! Zul hadir dari arah belakang dan menolak aku jatuh ke lantai.
“Hoi Zul! kenapa kau tolak Hisham. Kau tak
nampak ke dia tengah makan,” soal Shahir dengan muka merah padam.
“Amboi, bukan main
berlagak kau ye. Kau tahu kan Zul ni anak Penghulu Kampung. Suka hati dialah
nak buat apa,” ujar Zin yang merupakan teman rapat Zul.
“Tak apa Shahir,
sikit je ni. Kita pergi makan tempat lain ye,” pujuk aku bagi menenangkan
kemarahan Shahir.
“Cukuplah Hisham.
Aku dah tak tahan dengan perangai sombong dan bongkak anak Penghulu kampung ni.
Dia buli kau sejak dari tingkatan satu lagi. Hari ni, aku akan pastikan dia
menyesal dengan setiap perbuatan yang dia dah buat kat kau.”
“Aku hairanlah
tengok kau ni Shahir. Apa yang kau dapat bergaul dengan Si Hisham ni. Bapak kau
orang terkaya dan disegani di kampung. Kau patut jaga nama baik keluarga kau
dan elakkan berkawan dengan sampah masyarakat ni. Taraf kau dengan hisham tak
ubah seperti langit dan bumi,” jelas Zin dengan mimik muka yang berlagak.
“Ya memang.., memang aku mengaibkan. Memang
aku sampah masyarakat. Maaf kalau aku susahkan kau berdua. Aku tak pernah minta
hidup cam ni.” air mataku sudah mula berjujuran di pipi.
“Kau berdua dengar
sini. Aku beri kau amaran terakhir. Kalau aku nampak selepas ni kau buli atau hina
Hisham. Nahas kau berdua aku kerjakan!” herdik Shahir bagi melepaskan amarah
yang terpendam dalam darah mudanya.
“Apa kau merepek
ni Shahir. Kalau kau kata aku buli dia aku mengaku. Tapi, kalau kau kata hina
dia aku kurang setuju. Aku tak rasa aku hina tapi aku cuma sampaikan kebenaran,”
jelas Zul.
“Betul apa yang
Zul katakan tu. Kami berdua tak pernah hina Hisham. Aku rasa tak salah kalau
kami nak cakap yang Si Hisham ni anak..,” satu penumbuk padu hinggap ke muka
Zin.
“Dah cukup! rayuku dengan tangisan yang
teresak-esak. Ya memang aku, memang aku anak luar nikah, memang bapa aku
pendatang asing, memang mak aku sakit jiwa. Tapi aku tetap sayang mereka sebab
tanpa mereka aku takkan ada kat dunia ni. Aku tak faham apa salah aku sampai
kau berdua benci sangat kat aku.” rintihku menahan gelora jiwa yang sarat menahan
kesedihan.
Tanpa disedari,
seorang pengawas telah melaporkan kepada Cikgu Jalal bahawa kami berempat bergaduh
dan berkelahi di kantin. Oleh itu, kami dipanggil ke bilik disiplin untuk
disoal siasat. Ahli lembaga disiplin bersepakat dan bersetuju untuk menghubungi
penjaga kami. Kami semua disebat sebanyak tiga kali oleh pengetua sekolah.
Di suatu malam
yang hening, terakam perbualan aku dengan Nenek Su. “Nenek Su, boleh tak Hisham pergi ke rumah
Shahir mengulang kaji pelajaran?”
“Buat apa kamu belajar. Nenek takda duit nak sara
perbelanjaan kamu jika kamu masuk universiti nanti. Kamu suka atau tidak, lepas
habis belajar, kamu kena bantu nenek menoreh getah dan menjual kuih. Lupakanlah
cita-cita kamu nak jadi ahli perniagaan berjaya tu.” celoteh Nenek Su panjang
lebar.
“Nenek
Su tak perlu risau. Semua urusan pembiayaan Universiti nanti PTPTN yang
tanggung. Lagipun, simpanan biasiswa Petronas yang Hisham ada sekarang masih
banyak lagi. In shaa Allah boleh tampung perbelanjaan harian Hisham nanti.
Nenek mengalah diam tanda bersetuju. Keesokan harinya, sewaktu di sekolah.
“Hisham.
Saya nak tanya ni. Kenapa kamu tak bawa orang tua kamu sekali ke majlis mohon
restu sempena menghadapi Peperiksaan SPM?” soal Cikgu Jalal.
“Errr.., untuk
pengetahuan cikgu, saya sebenarnya tinggal bersama nenek di rumah dan keluarga
saya...” Aku menerangkan keadaan sebenar keadaan hidupku panjang lebar.
Tiba-tiba,
air mata Cikgu Jalal jatuh berlinangan. “Maafkan cikgu, selama ini saya tak
tahu tentang keadaan hidup keluarga kamu. Kenapa kamu tak pernah beritahu
perkara sebenar kepada Cikgu?” soal Cikgu Jalal sambil mengelap air matanya.
“Sabar
cikgu. Ya, saya mengaku. Memang saya itu ini. Tapi, saya sabar dan redha dengan
ketentuan ilahi. Saya ingat lagi ustaz pernah berkata, Allah berfirman dalam
surah Al-baqarah ayat 153, hai orang-orang beriman, mintalah pertolongan kepada
Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama orang yang sabar. Saya
yakin dan percaya bahawa setiap yang berlaku itu mesti ada hikmahnya. Lagipun bukankah
agama islam melarang kita membuka atau menceritakan aib kita sendiri” jelasku
dengan penuh hormat kepada cikgu.
Cikgu
Jalal memeluk erat diriku bagaikan seorang bapa dengan anak sambil mulutnya
membisik ke telingku. Maafkan Cikgu. Itulah kali pertama aku merasakan
kehangatan pelukan seorang bapa. Sedikit janggal kurasa, tetapi terasa tenang
di jiwa.
Sewaktu Keputusan
Peperiksaan SPM diumumkan, aku telah dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPM
peringkat Kebangsaan. Lantaran itu, aku telah melanjutkan pelajaran di
Universiti Utara Malaysia dan akhirnya memilih untuk menjadi seorang ahli
perniagaan Stesen Minyak Petronas yang berjaya.
Seusai Cikgu Jalal
melepaskan pelukannya, lamunan terhadap memori zaman silam remajaku hilang sekelip mata. Aku
merasakan masa sangat pantas berlalu. Cikgu Jalal berlalu pergi dari premisku
dengan menaiki Kereta Perodua Axianya yang berwarna merah menyala. Semerah
memori indah yang tergamit di sukmaku.
0 comments:
Post a Comment