POTRET JIWA
SHAHIRAN RUSLAN
Kedengaran suara tangisan anak-anak kecil
merengek-rengek di dapur. Di tambah lagi dengan bunyi cengkerik yang saling
bersahutan memecahkan kesunyian malam di perumahan Izzaty. Izzaty memarahi anak-anaknya
di hadapan juadah makan malam mereka, telur dadar berserta nasi goreng yang
terhidang di atas meja makan. Suami dan ibu Izzaty hanya senyum sahaja melihat
tindakannya kerana mereka tahu benar alasan Izzaty berbuat demikian. Izzaty
memaksa anak-anaknya makan hidangan makanan yang telah dimasak sehingga habis.
Usai makan malam, anak-anaknya naik ke bilik untuk mengulangkaji pelajaran
manakala Izzaty seperti biasa membasuh pinggan yang telah kotor dengan dibantu
oleh suaminya. Suaminya menyapanya kerana melihat Izzaty menitiskan air mata
jernih yang jatuh bercucuran sedikit demi sedikit setelah lama bertakung di
kelopak matanya.
“Sayang..,
janganlah nangis. Sayang memang dah lakukan tindakan yang patut dibuat oleh
semua ibu.” tutur suaminya dengan nada yang lemah lembut cuba memujuk.
“Tapi
abang, saya sebenarnya tak sampai hati nak marah mereka. Cuma saya rasa saya
seperti gagal mendidik anak kita. Abang bayangkan. Setelah penat saya masak,
mereka boleh buang telur dadar tu tanpa rasa bersalah. Selama ini, saya terlalu
manjakan mereka dengan masak makanan kegemaran mereka sahaja.” rintih Izzaty
dengan suara sebak menahan kesedihan yang sarat di jiwa.
“Janganlah
macam tu, abang pun sama. Abang terlalu leka memenuhi segala permintaan anak-anak
sehingga lupa untuk mendidik mereka erti bersyukur. Selepas ni, kita sama-sama
cuba didik mereka dengan ajaran dan tuntutan agama ya.” ujar suaminya untuk
menenangkan kepiluan hatinya.
“Terima
kasih abang. In shaa Allah, saya akan berusaha didik anak kita.” Izzaty memeluk
suaminya erat selepas selesai mencuci dan menyusun pinggan.
Dalam dakapan suaminya, Izzaty teringat akan
potret hidup silamnya yang cukup pahit dan getir. Masakan tidak, dia bukanlah
seorang anak yang dilahirkan dalam keluarga yang berada mahupun bahagia. Izzaty
boleh dikatakan kanak-kanak yang paling miskin di kampungnya. Apa yang lebih
menyedihkan lagi, bapanya telah pergi meninggalkan ibunya keseorangan di rumah
pusaka neneknya yang usang kerana tidak tahan hidup dengan kemiskinan. Dia
diasuh dan dibesarkan oleh seorang ibu yang tegas dan bersemangat kental.
Segala pendapatan harian mereka diperoleh melalui hasil jualan kuih-muih ibunya
di hadapan rumahnya.
Ketika di bangku
sekolah rendah lagi, bermacam-macam dugaan yang telah dia tempuhi. Sejak darjah
satu, Izzaty tidak pernah diberikan wang belanja. Ibunya memintanya menahan
lapar di sekolah sehingga petang kerana mereka perlu berjimat cermat untuk
mendepani kos sara hidup yang semakin mencabar. Setiap pagi, dia akan mengisi perutnya
yang lapar dengan hanya minuman air botol yang dibawanya dari rumah. Sekalipun
tidak pernah terlintas di hatinya untuk mengeluh dengan takdir dan nasib yang
menimpa dirinya. Peristiwa pahit yang masih segar di memori ingatannya adalah
apabila dia diejek oleh rakannya sebagai anjing jalanan.
“Hoi anjing
jalanan! Cari makanan ke.., kesian. Haha!” herdik rakan-rakan sekelasnya sambil
tertawa mengejek ketika Izzaty sedang leka mencari makanan di sebalik timbunan
tong sampah.
Izzaty hanya diam
tanpa bicara sambil mengesat air matanya yang berlinangan di pipi. Saat itu dia
terpaksa mencari makanan di tong sampah kerana sudah tidak kuat menahan perut
berkeroncong lapar. Izzaty sudah serik dengan tingkah laku rakan-rakan yang
suka menghinanya. Dia sedar dia cuma anak yatim lagi miskin yang tidak punya
tempat untuk mengadu kasih. Dia tidak mahu memberitahu kepada ibunya tentang
perkara tersebut kerana gusar ibunya akan lebih berasa tertekan dan terbeban
dengan masalah sedia ada. Dia mengambil keputusan untuk hanya mendiamkan diri.
Apabila meningkat
ke alam remaja, Izzaty sedar akan keadaan keluarganya dan berazam untuk belajar
bersungguh-sungguh. Guru-guru di sekolah sangat menyanjunginya kerana dia
merupakan seorang murid yang cemerlang dan bersahsiah mulia. Keadaan tersebut
menyebabkan ramai rakan sekelas cemburu dengan kelebihannya. Tidak ramai yang
ingin berkawan dengannya setelah mengetahui status keluarganya. Menjelang
keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, Izzaty telah dinobatkan sebagai
pelajar terbaik peringkat daerah Batu Pahat, Johor. Izzaty telah ditawarkan
untuk meneruskan pengajian ke salah sebuah Universiti Awam di Malaysia. Namun,
hasratnya terpaksa dilupakan disebabkan kesempitan kewangan yang melanda ibunya
secara tiba-tiba.
“Ibu, berhentilah
menangis. Jangan risau. Izzaty tak nak belajar di Universiti. Izzaty sambung
belajar di tingkatan enam sahaja nanti.” pujuk Izzaty melihat ibunya yang
menangis kerana jualan kuih ibunya sudah tidak laku lagi.
“Maafkan ibu nak.
Ibu tak sangka jadi begini. Sudah seminggu ibu berniaga. Tapi, tiada seoran pun
orang kampung yang datang membeli.” luah ibunya kesal dengan bala yang menimpa.
“Ibu janganlah
cakap macam tu, dah tak ada rezeki. Kita ikhtiar cara lain ya ibu. Izzaty pasti
mesti ada hikmah di sebalik perkara yang terjadi. Allah kan maha adil.”
Sememangnya ibu
Izzaty langsung tidak menjangka bahawa rupa-rupanya perniagaan kuihnya telah
disantau oleh kedai yang turut menjual kuih berhampiran dengan kedainya. Hal
ini diketahuinya setelah pelanggan tetapnya bertanya mengapa dia tidak menjual
kuih selama seminggu semasa berjumpa di pasar. Begitulah tabiat orang kita,
penuh dengan hasad dengki sehingga sanggup bertuhankan syaitan. Ibu Izzaty
sedikit pun tidak berdendam malahan mendoakan supaya orang yang menyihir
kedainya akan diberikan petunjuk oleh yang maha esa. Kini, sumber utama
keluarga Izzaty adalah wang yang diperoleh melalui upah menjahit baju di
kampungnya. Ramai yang menghantar pakaian untuk dijahit kepada ibunya
disebabkan kadar upahnya yang murah serta hasil jahitan yang kemas dan
memuaskan.
“Mak! Ohh.., Mak.
Izzaty dapat sambung belajar di UPM.” teriak Izzaty kepada ibunya setelah
menerima mesej di telefon bimbitnya.
“Alhamdulillah.
Syukur kepada tuhan. Tak sia-sia kau sambung belajar di tingkatan enam. Mak
bangga dengan kau.” balas ibunya dengan wajah sebak menahan kegembiraan.
Kini, Izzaty
bergelar mahasiswi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mengambil bidang
bacelor pendidikan bahasa Melayu. Pihak sekolah sangat bangga dengannya kerana
Izzaty merupakan murid pertama sekolahnya yang berjaya menempa nama di menara
gading yang gah. Izzaty ditawarkan dengan biasiswa Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) atas kecemerlangannya yang mendapat gred dekan pada setiap
semester. Namun, nikmat tuhan yang diberikan sedikit pun tidak pernah dikufuri.
Izzaty sentiasa bersyukur dengan memberikan sebahagian daripada wang
biasiswanya kepada ibunya di kampung serta membelanja rakan-rakannya yang tidak
mempunyai duit untuk makan.
“Ibu
dah tak tahan nak. Maksu kamu datang setiap hari ke rumah menghalau ibu supaya
berpindah ke tempat lain.” ibu Izzaty menelefonnya untuk memberitahu bahawa dia
sudah tidak tahan dengan perangai adiknya yang tamak mahukan rumah pusaka keluarga
mereka dijual dengan harga yang lumayan.
“Bersabarlah
ibu. Hujung minggu ni Izzaty balik. Nanti Izzaty cuba berbincang dengan maksu
ya.” ujar Izzaty cuba menenangkan hati ibunya yang gundah gulana.
Izzaty
kenal benar dengan ibunya. Dia sedar bahawa ibunya bukan risaukan rumahnya akan
dijual oleh maksunya. Tetapi, dia tahu bahawa ibunya seorang yang sangat
menitikberatkan soal amanah. Ibunya takut sekiranya amanah arwah neneknya yang
mewasiatkan supaya ibunya akan menjaga rumah pusaka tersebut tidak dapat
dilaksanakan angkara maksunya yang tamak haloba tanpa mengira dosa dan pahala.
Setelah
fajar sidik mengintai, cahaya mentari mula menyinari bumi. Pada hari ahad
bersempena dengan cuti pertengahan semester, Izzaty dan ibunya telah menjemput
maksunya untuk hadir ke rumahnya bagi berbincang mengenai soal rumah pusaka
tersebut. Tepat jam 9 pagi, maksunya hadir bersama suaminya dengan menaiki
kereta Honda Accord yang baru dibeli bulan lepas.
“Maafkan
akak adik, akak tak setuju adik nak kita jual rumah pusaka ni. Inikan harta
peninggalan arwah mak.” tutur mak pada maksu menjelaskan keadaan yang sebenar.
“Akak
kena faham. Adik jual pun bukan sebab nak jadi kaya raya. Adik terdesak
perlukan duit nak bayar hutang beli kereta baru tu.” balas maksu menerangkan
situasi kewangan yang menghimpit dirinya dengan wajah yang resah.
“Akak
dah agak dah. Ini semua mesti sebab laki kau. Sedarlah dik. Ukurlah baju di
badan sendiri. Jangan sebab kau ikutkan kehendak suami kau sampai tanah mak
kita kau nak gadaikan. Kau sedar tak mak dah banyak berkorban untuk kau. Semua
gelang dan rantai emas mak serah kat kau. Habis kau jual sebab nak senangkan
laki kau. Sekarang rumah yang mak amanahkan akak jaga ni pun kau nak gadai! Kau
tak ingat akhirat ke dik”
Maksu
mula menitiskan air mata. Dia mula sedar akan kesilapannya yang terlalu
menuruti kehendak suaminya. Dia menyesal dan terus bangun memeluk serta mencium
tangan ibu memohon maaf atas kesalahannya. Dia berjanji akan berubah dan
menukar semula kereta yang baru dibelinya dengan kereta yang lebih murah. Kini,
segala permasalahan yang dipikul di pundak ibu sudah selesai. Izzaty telah
menamatkan pengajiannya dan bekerja sebagai seorang guru bahasa Melayu. Di
sekolah tempat Izzaty mengajar, dia bertemu dan berkahwin dengan guru lelaki
yang turut sama mengajar subjek bahasa Melayu.
Lamunan
Izzaty tersentak setelah suaminya melepaskan pelukannya dan mengajaknya untuk
berbual di bilik tidur. Izzaty mengelap air matanya yang mulai kering dan
tersenyum tatkala mengimbau kembali potret hidupnya yang penuh dengan liku-liku
ranjau kehidupan.
“Amboi..,
tersengih-sengih ni ada apa-apa ke ni.” soal suaminya sambil mencuit pipinya
yang gebu.
“Saya
cuma teringat kehidupan silam saya. Syukur kepada tuhan. Banyak nikmatnya yang
telah dikurniakan kepada kita. Saya harap sangat agar kita boleh didik
anak-anak kita supaya sentiasa bersyukur dengan apa yang ada.” balas Izzaty
menjawab persoalan yang dikemukakan suaminya.
Malam
itu, Izzaty tidur lena dibuai desiran angin potret hidupnya yang kini telah
dicoreti pelbagai kenangan suka dan duka di samping suami tercinta. Begitulah
potret hidup Nurul Izzaty.
0 comments:
Post a Comment