PENA BAHASA

KEMBARA MUSAFIR
 

Saturday, April 4, 2020

Cerpen Anugerah Tuhan

0 comments


Anugerah Tuhan

Kedinginan bayu malam yang berbaur dengan pelbagai bau dari reban ayam dan itik di  belakang rumah Wani sungguh menggigit semangatnya yang kian pudar dan menambahkan lagi rasa pilu di hatinya. Matanya yang sejak azali sememangnya merah, bertambah merah lagi apabila dibanjiri oleh takungan air mata seperti banjir kolam itiknya ketika hujan. Apa lagi ujian yang perlu dilaluinya setelah bermacam-macam rimba dugaan ditempuhi dengan penuh sabar, sungguh dia tidak pasti lagi. Dia kini bagaikan camar berbulu putih yang terkurung di dalam sangkar kejahilan manusia. Jiwanya meronta-ronta ingin mencari jalan kebebasan, namun tiada ruang atau peluang yang ditemui.
Dengan hati yang berduka lara, Wani melabuhkan punggungnya di atas anak tangga sambil memeluk erat tubuhnya. Berbeza dengan suara agas dan nyamuk yang berpesta ria menghisap darahnya dan berdengungan nyaring di telinganya, reban haiwan ternakannya kini sunyi sepi tidak berpenghuni. Termangu dia sendirian dalam menungan panjang di bawah sinaran bulan yang terang benderang, digelumangi oleh rentetan sejarah hidup yang ditimpa pelbagai malapetaka yang menghitam zulmatkan masa depannya, tanpa henti. Pelbagai persoalan bagaikan belati sembelihan yang diasah berlegar-legar dan menusuk tajam di awanan akalnya. Tersentak-sentak nafasnya oleh satu persatu masalah yang bergolekan datang lalu menghempap dirinya yang mempunyai kulit dan rambut memutih susu seperti bergolek datangnya malapetaka silam sepuluh tahun yang lepas ke dalam benaknya kembali.    Dia seakan dapat melihat akan wajah ibunya yang suram apabila kuih karipap, donat, keria dan koci yang dijual di hadapan rumahnya sudah tidak laku lagi. Dia juga seperti dapat menghidu kembali akan bau najis di reban ayam dan itik ternakannya yang tinggal kosong secara tiba-tiba itu semula. Reban haiwan ternakannya habis musnah. Papan-papan yang ada punah dipatahkan, atap zink rebannya pula teruk dikemekkan. Argh! Apa lagi wanita sepertiku boleh lakukan? Hendak mengadu pada Tok Halim, Tok Penghulu Kampung, tak payah. Sama seperti cari nahas. Silap hari bulan, bukan sekadar dihinanya lagi, malah akan ditertawa-siniskan. Hendak laporkan pada Tuan Arshad? Lagi tak payah. Cari penyakit tambahan saja. Macamlah manusia berkulit dan berambut putih seperti aku ini tidak memadai untuk dijadikan bahan jenaka. Mataku yang kemerahan saja sudah cukup untuk aku disisihkan oleh penduduk Kampung Bara, Jelebu, Negeri Sembilan. Baik lupakan saja!
“Kenapa mesti ayah kau datang semula ke kampung ni! Sakit hati ibu melihat mukanya. Dia gembira, kita sengsara!” rintih ibunya dengan nada suara perih menahan kesakitan yang tidak tertanggung, pipinya yang berkedut basah dengan air mata dan rambutnya yang putih beruban dibiarkan mengurai begitu saja.
Wani pantas berlari ke bilik ibunya. Tangisan ibunya merunsingkan fikiran dan menyayatkan hatinya. Aduhai, anak mana yang sanggup melihat ibunya tersiksa dan hidup menderita sedemikian rupa? Wani sungguh tidak menyangka bahawa bapa yang meninggalkan ibunya ketika dia masih dalam kandungan lagi, kini dengan tiba-tiba hadir kembali dalam lembaran hidup mereka setelah hampir tiga puluh tahun berlalu. Sungguh Wani sukar mempercayainya. Akalnya bercelaru tidak keruan. Sungguh dia tidak pasti apa yang patut dilakukannya sekarang. Dia seakan hampir lemas di permukaan dua batang sungai yang airnya mengalir amat deras, namun dia perlu merenangi kedua-dua sungai tersebut secara serentak bagi mencapai impiannya. Tanpa sedar, Wani mengeluarkan rantai yang diikatkan sebutir batu putih di lehernya, lalu dia menggenggamnya dengan erat. Walaupun segalanya begitu mencelarukan fikirannya, namun ingatannya masih segar terhadap peristiwa yang menyebabkan kaki kanan ibunya menjadi cacat.
“Aku takkan mengalah. Aku akan buktikan wanita berlainan upaya juga boleh berjaya. Lihat saja nanti!” bentak hatinya membara dengan semangat berkobar-kobar yang dicetuskan oleh rasa tersinggung yang membuak-buak setiap kali apabila melihat batu tersebut. Api amarahnya dipastikan membakar semangat perjuangannya supaya sentiasa marak menyala, bukan sebaliknya memudar padam. Rasa amarah yang menjulang setinggi langit itu, akan dipastikan bahawa Wani yang lahir tanpa memiliki bin yang sah itu, bukan seperti Mat Jenin yang hanya gemar berangan tanpa berusaha merealisasikan angan-angannya. Tidak akan dibiarkan begitu sahaja cita-citanya yang tinggi menggunung seperti Gunung Besar Hantu, gunung tertinggi di tempatnya. Impian menjadi usahawan penternak berjaya di kampungnya sudah ditanam sejak kecil lagi, lenyap begitu sahaja. Malah, sejak kecil lagi, dia sudah menyedari bahawa berkawan dengan haiwan kadangkala lebih indah daripada berkawan dengan manusia. Sekurang-kurangnya, haiwan ternakannya tidak pernah menyakiti hatinya berbanding dengan penduduk kampung yang suka mencaci dan menghina dirinya.
Ketika hanya suara unggas memecahkan kesunyian malam. Wani merebahkan tubuhnya duduk bersujud di atas sejadah keimanan memohon petunjuk dan taufik daripada illahi. Dengan linangan air mata yang jatuh membasahi pipinya, Wani menadah tangan dan bersungguh meminta pertolongan dan diberikan jalan oleh-Nya. Wani perlu memilih antara sama ada meneruskan perjuangannya sebagai penternak berjaya atau terus melihat ibunya menangis dan tersiksa jiwa dan batinnya. Masih terngiang-ngiang di gedung fikirnya akan perbualan dengan ibunya ketika membasuh pinggan di dapur malam tadi.  
“Mulai esok, kemas barang kamu sikit-sikit ya. Ibu dah fikir masak-masak. Kita akan berpindah dari kampung ni minggu hadapan. Soal rumah baru kita usah dirisaukan. Ibu sudah beritahu paklong kamu untuk uruskan. Ibu dah tak sanggup lagi melihat muka lelaki yang tergamak membuat hidup kita menderita.”
 Wani hanya menganggukkan kepalanya sambil membasuh pinggan yang terdapat di atas sinki kerana tidak mahu menambah beban di kepala ibunya lagi. Setitis demi setitis air mata jatuh berlinangan di pipinya. Dia tidak dapat menahan sebak apabila memikirkan perjuangannya. Sudah hampir sepuluh tahun Wani mengusahakan haiwan ternakan ayam dan itiknya. Melihat kepada pencapaian jumlah haiwan ternakannya sebelum ini, dia boleh saja digelar penternak kampung berjaya. Sia-sia sajalah usahanya selama ini jika mereka berpindah dari Kampung Bara secara tiba-tiba.
“Alhamdulillah. Permohonan untuk mengikuti Program AZAM Tani berjaya!” Wani melompat kegembiraan setelah membaca surat yang diambil dari peti pos di hadapan rumahnya. Wani bagaikan tidak percaya bahawa sinaran matahari pagi itu membawa sinar harapan baru. Setelah dia menghadiri Kursus Asas Penternakan Ayam Pedaging anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada bulan lepas, kini dia bakal berpeluang mengikuti Program AZAM Tani. Dengan mengikuti program tersebut, dia akan didedahkan dengan kursus menguruskan ternakan ayam pedaging dan menerima bantuan kewangan sebanyak sepuluh ribu ringgit serta seratus ekor ayam pedaging, reban, bekas makanan dan minuman secara percuma. Lantas, dengan hati yang berbunga, Wani membawa surat tersebut dan berlari seperti kanak-kanak yang baru mendapat aiskrim di sekeliling rumah untuk mencari ibunya bagi menyampaikan berita gembira tersebut.
“Apa yang anak ibu gembirakan sangat ni. Dah kemas barang belum? Tak lama lagi ‘kan kita nak berpindah.” tutur ibunya lembut dengan senyuman yang terukir di wajahnya.
Wani tersentak seketika mendengarkan teguran ibunya yang sedang melipat pakaian di biliknya. Dia benar-benar terlupa bahawa mereka akan berpindah ke rumah baru yang akan diuruskan oleh pak longnya pada minggu hadapan. Sedikit demi sedikit dia memaksakan dirinya supaya tenang duduk di atas katil lalu memeluk lengan kanan ibunya seraya.
“Wani sayang Ibu. Tapi, jika ibu izinkan. Wani nak capai cita-cita Wani dulu. Wani nak buktikan pada orang kampung wanita berlainan upaya, berlainan warna kulit, rambut dan mata seperti Wani juga boleh berjaya dalam bidang perusahaan termasuk penternakan.” pujuk Wani dengan harapan ibunya akan memahami impiannya yang sudah lama tertanam di hati.
Secara mendadak, kelopak mata ibunya berkaca-kaca mendengar luahan hati Wani. Ibunya seakan tidak menyangka bahawa anak gadis berlainan upaya yang Tuhan anugerahkan kepadanya itu, mempunyai ketabahan dan semangat juang yang tinggi. Ibunya segera berhenti daripada melipat kain lalu terus memeluk Wani buat beberapa ketika. Sungguh hangat pelukan seorang ibu sehingga menyentuh perasaan Wani. Terasa lapang di dada, bagai serta-merta hilang segala duka.
Hari bersilih ganti, musim berganti musim, bulan dan matahari bergilir-gilir memancarkan sinaran kebesaran Tuhan siang dan malam, menyaksikan ketabahan Wani mengharungi cabaran-cabaran getir seperti penularan wabak selesema burung dan keadaan cuaca yang tidak menentu. Mujur ilmu yang diperolehi ketika mengikuti program AZAM Tani banyak membantunya mendepani masalah-masalah tersebut. Wani sentiasa mematuhi jadual pemberian vaksin kepada ayam ternakannya dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi apa jua masalah yang boleh berlaku. Hampir lima tahun berlalu sejak Wani mengikuti program AZAM Tani yang diuruskan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) daerah Jelebu. Wani bersyukur tidak terhingga kerana melalui program tersebut, Wani diberikan seratus ekor anak ayam pedaging, bekas makanan dan minuman, dedak ayam  dan sebuah reban yang bersaiz 20 kaki. Hasil daripada penjualan ayam pedaging tersebut, Wani kini telah memiliki ribuan ekor ayam yang terdiri daripada ayam pedaging, ayam telur dan ayam kampung. Pendapatannya mencecah dua puluh ribu sebulan sehingga membuatkan dia berkemampuan untuk mengupah sepuluh pekerja yang terdiri daripada pemuda kampung yang menganggur bagi membantunya menguruskan perusahaan ternakannya secara professional.  Sesungguhnya untuk menjadi seorang usahawan penternakan yang berjaya laluannya bukanlah semudah yang disangkakan. Banyak kemahiran dan pengetahuan yang perlu Wani kuasai. Wani langsung mengambil inisiatif dengan mendaftarkan perusahaan ternakannya di Jabatan Veterinar Daerah Kawasan Jelebu. Pada setiap bulan, dia akan melaporkan perkembangan perusahaan ternakannya  di Jabatan Veterinar Daerah dan Pejabat Peladang Kawasan Jelebu di samping mendapatkan informasi dan input yang berguna. Sungguh tidak disangka, rupanya berita tentang kejayaan Wani dibawa oleh tiupan angin lalu tersebar luas di seluruh kampung dan daerah malahan, khabarnya hingga di peringkat negeri juga. Sayangnya, terbukti adat manusia apabila berjaya, pasti ada yang dengki khianat dan ada yang datang menghampiri. Wani terkejut apabila orang kampung yang sebelum ini melayannya seperti sampah kini melayannya dengan penuh mesra seolah-olah merekalah sahabat sejatinya dunia akhirat. Malah, ada juga yang datang ke rumahnya semata-mata mahu meminjam wang. Yang lebih mengejutkan lagi ialah terdapat lelaki di kampungnya yang sudah beristeri datang ke rumahnya mahu menjadikannya isteri kedua.
 Sedang dia duduk bersendirian di ladang ternakannya, entah mengapa, terasa sayu yang teramat sangat tiba. Sambil memegang batu putih yang diikat pada rantai di lehernya, Wani terkenang sejarah kehidupannya dua puluh tahun yang lepas. Batu itu merupakan batu yang diberikan Tok Halim semasa Wani datang ke rumahnya ingin meminjam wang membeli ubat kaki ibunya yang sakit tertusuk duri. Sehingga kini, Wani tidak dapat melupakan penghinaan Tok Halim terhadap dirinya. Disebabkan kebakhilan Tok Halim, kini ibunya terpaksa berjalan terhencot-hencot kerana memiliki kaki kanan yang cacat.
Simpatinya melimpah untuk ibu tercinta, walaupun diri sendiri pun kurang bernasib baik kerana ditakdirkan menghidap Syndrom Albino. Tidak mengapalah jika dia dianggap berbeza sekali dengan orang lain. Dia redha saja. Malah, sejak dia mula menghela nafas pertama dari dalam rahim ibunya lagi, khabarnya rambut dan kulit di sekujur tubuhnya memutih susu, matanya merah-kemerahan seperti kulit dan mata seekor arnab dan fungsi pancainderanya pula agak lemah berbanding manusia biasa. Bertambah malang lagi apabila dia menerima tempias dosa kedua ibu dan bapanya atau dalam erti kata lain dia merupakan anak luar nikah. Pelbagai tohmahan dan celaan yang dilontarkan oleh orang kampung kepada dia dan ibunya. Peristiwa cacian orang kampung yang masih segar di ingatannya ialah peristiwa hitam yang berlaku semasa dia baru berumur sepuluh tahun lagi. Ketika itu dia sedang bermain di taman permainan berdekatan dengan padang Sekolah Kebangsaan Bara.
“Hoi haiwan putih! Berambus dari sini! Rupa kau saja sudah cukup untuk membuatkan kami ketakutan di sini.” herdik seorang mak cik yang membawa anaknya bermain di permainan tersebut.
“Maafkan saya mak cik. Saya cuma ingin tumpang bermain. Nanti saya pulanglah ke rumah.” getusnya perlahan.
Tiba-tiba, seorang pemuda kampung menolak Wani jatuh di atas permukaan tanah. Penduduk kampung yang ada di taman tersebut tidak berhenti mentertawakan Wani. Dengan lutut yang berdarah, Wani menangis tersesak-esak dan pulang ke rumah. Sekali pun tidak pernah terdetik di hatinya untuk menyalahkan takdir terhadap apa yang telah berlaku. Malah dia bersyukur kerana ibunya tetap sanggup memeliharanya dengan penuh kasih sayang sehingga dia meningkat dewasa. Kos sara hidup yang semakin tinggi memaksa dia untuk tidak hanya mengharapkan jualan kuih ibunya sahaja. Biarpun hidup dalam keadaan serba kekurangan, dia tetap gigih mencari kerja sampingan dan rezeki yang halal bagi meneruskan kelangsungan hidup misalnya dia pernah berkerja sebagai pencuci pinggan di sebuah warung yang terdapat di Kampung Bara. Itupun cuma seminggu sahaja, kemudian dia diberhentikan gara-gara mulut orang kampung yang memaksa majikannya untuk memberhentikannya.
Pelbagai penghinaan yang Wani tempuhi semasa mencari kerja. Orang kampung memandangnya sebagai ‘malang’ atau ‘kutukan tuhan’ kerana ini merupakan kali pertama mereka melihat manusia yang memiliki warna kulit dan rambut berwarna putih serta mata yang berwarna merah. Lebih menyedihkan lagi, dia pernah diusir persis binatang apabila dia memasuki beberapa buah kedai untuk mencari kerja.
“Kau ni lah budak ‘kutukan tuhan’ tu kan. Pergi! Keluar kau dari kedai aku. Nanti habis semua pelanggan aku lari.” pinta seorang wanita tua yang merupakan pemilik sebuah butik pakaian kepada Wani.
“Maafkan saya makcik, saya cuma ingin bertanya jika ada kerja kosong di sini. Soal gaji saya tidak kesah. Terpulanglah pada makcik. Tolonglah ambil saya bekerja di butik makcik.” rayu Wani dengan kedua belah tangannya memegang kaki makcik tersebut.
Tanpa ihsan, pemilik butik tersebut menerajang badan Wani lalu tubuhnya jatuh rebah ke atas lantai. Dengan linangan air mata, Wani memohon maaf lalu beredar dari butik tersebut dan pergi ke kedai lain. Bagi orang kampung, wanita albino seperti Syazwani lebih baik mati sahaja daripada terus mencurah aib dalam telaga kampung mereka.
Sesungguhnya Wani berasa teramat lelah dan longlai dengan sikap dan layanan orang kampung terhadapnya. Lantas, dengan rasa tersinggung yang bukan alang kepalang, dia akan memegang rantai yang diikat dengan sebutir batu yang terkalung di lehernya. Segala tohmahan dan penghinaan orang kampung akan digabungkan untuk dijadikan tenaga dalaman yang membuak-buak dalam dirinya. Tenaga tersebut akan berubah menjadi semangat untuk membuktikan bahawa dia sebenarnya lebih baik daripada mereka yang sering memperlekeh-remehkan dirinya.
            Wani membela beberapa haiwan ternakan seperti ayam, itik dan dan arnab di belakang rumahnya. Kegigihannya luar biasa kerana daripada sepasang sahaja setiap haiwan ternakan yang dia miliki kini sudah beranak-pinak. Wani mula menjual beberapa haiwan ternakannya ke sebuah pasar yang terdapat di pekan. Dia pernah cuba menjual haiwan ternakannya kepada orang kampung, namun cacian sahaja yang diterimanya, seolah-olah jika membeli haiwan ternakan daripada penternak berlainan upaya, mereka akan terjangkit dengan penyakitnya. Perkara itu tidak pernah Wani biarkan mematahkan semangatnya malah menjadi api pembakar semangat perjuangan hidupnya.
 Malang tidak berbau, jualan kuih ibunya kini sudah tidak ada yang mahu membeli. Ada segelintir orang kampung yang menabur onar dan fitnah ke periuk rezeki Wani dan ibunya. Api hasad dengki di jiwa mereka yang sememangnya sukar dipadam, merebak kepada penduduk-penduduk kampung yang lain, bagaikan api dalam sekam. Malah ia menjadi lebih marak apabila terkena percikan kejayaan orang lain. Mahu tidak mahu, Wani dan ibunya terpaksa bergantung penuh pada sumber pendapatan hasil jualan haiwan ternakannya semata-mata. Wani berazam untuk memperkembang lagi perusahaan ternakannya.
Sewaktu berjalan pulang dari pekan ke kampung. Wani disapa oleh Tuan Arshad yang menaiki kereta mewah yang berkilat. Tuan Arshad merupakan orang kaya dari bandar yang mengambil keputusan untuk tinggal di kampung Bara setelah 20 tahun berhijrah meninggalkan kampung berniaga di bandar.
“Anak mahu ke mana? Mari pakcik tumpangkan.” pelawa Tuan Arshad. Layanan Tuan Arshad terhadap Wani persis seperti seorang anak walaupun baru saja bertemu. Wani pernah diajak bertandang ke rumahnya dan dijamu dengan makanan yang sangat enak.
 Wani berasa sungguh selesa berbual dengan Tuan Arshad. Isteri Tuan Arshad juga melayannya dengan penuh mesra kerana mereka sememangnya tidak mempunyai anak. Wani lalu menceritakan mengenai Tuan Arshad kepada ibunya apabila pulang ke rumah. Ternyata, ibunya begitu gembira kerana terbukti masih ada juga orang kampung yang melayan Wani seperti seorang manusia sempurna. Sejak hari itu, Wani semakin kerap dijemput pergi ke rumah Tuan Arshad dan ini sesungguhnya amat Wani hargai kerana ia memudahkan dia bertanyakan tentang selok-belok perniagaan. Anehnya, hal ini cukup tidak disenangi oleh Tok Halim. Tok Halim dan orang kampung sering kali menyindir Wani apabila bertemu di kedai runcit atau di tepi jalan. Mereka menggelarkan Wani ‘haiwan putih’ dan macam-macam lagi. Lebih teruk lagi, Tok Halim pernah menyebarkan kepercayaan kepada orang kampung bahawa kelahiran Wani akan menyebabkan kampung tersebut bakal ditimpa musibah berbentuk bencana alam yang maha dahsyat. Namun Allah Maha Berkuasa, sehingga kini kampung Bara tidak pernah dilanda musibah seperti banjir atau kemarau.
Biarlah mereka! Dengus hatinya yang enggan melayan sindiran penduduk kampung terhadapnya. Berkat kegigihannya, kini dia sudah memiliki sebuah ladang ternakannya sendiri. Dia banyak menerima bantuan dan bimbingan daripada Tuan Arshad. Jelas Tuan Arshad sangat berbangga dengan keupayaan Wani dan mengundangnya serta orang kampung hadir ke rumahnya bagi meraikan majlis hari jadinya.
Malam itu, berlaku peristiwa yang tidak diduga dan masih segar di bingkai ingatan Wani. Sebaik sahaja Wani dan ibunya bertemu Tuan Arshad. Ibu Munirah tiba-tiba menangis. Pada mulanya, Wani menyangka mungkin ibunya terharu bertemu dengan insan yang banyak membantu kejayaan perusahaannya. Namun, ternyata sangkaannya meleset apabila ibunya mengheretnya pulang sambil mengadu tentang Tuan Arshadlah lelaki tidak bertanggungjawab yang pernah menghamilkan tanpa mahu menikahinya, sebelum meninggalkannya begitu saja pada tiga puluh tahun yang lepas atau dalam erti kata lain ayah kepada Wani. Rupanya, Tuan Arshad sebenarnya sudah mengetahui perkara tersebut namun belum bersedia untuk memberitahunya kepada Wani.
Lamunan silamnya tersentak apabila disapa oleh satu-satunya anak lelaki Tok Halim, iaitu Shahir. Shahir datang ke ladang ternakannya dengan riak muka masam mencuka.
“Ada hal apa kau datang ke ladang ternakan aku lewat petang sebegini?” soal Wani kepada Shahir dengan dahinya yang berkerut, hairan melihat kelakuan dan riak muka Shahir.
Rupanya sekarang Tok Halim sakit tenat akibat daripada serangan penyakit jantung. Tok Halim mahu bertemu Wani dan ibunya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Wani bergegas pulang ke rumah dan meminta ibunya bersiap untuk pergi ke rumah Tok Halim selepas solat maghrib. Sampai sahaja di rumah Tok Halim, isteri Tok Halim terus menjemput Wani dan ibunya ke bilik Tok Halim. Penduduk-penduduk kampung sudah berkumpul di ruang tamu kediaman Tok Halim sambil membacakan ayat-ayat Quran. Wani agak terkejut melihat muka Tok Halim yang pucat lesu, kaki dan perut Tok Halim pula kelihatan bengkak dan sekali sekala kedengaran suara nafasnya yang tercungap-cungap.
“Tok nak minta maaf. Tok lah yang suruh pemuda kampung curi semua haiwan ternakan kau. Tapi, sekarang mereka sedang pulangkan semuanya... Aku jugalah yang fitnah jualan kuih kau Munirah. Aku tak sanggup lagi hidup dibelenggu dosa. Maafkan Tok Wani. Tok dah tua...” ujar Tok Halim dengan nada suara yang perlahan dan tersekat-sekat, sungguh dia amat menyesali akan semua perbuatannya.
Kemudian, barulah Wani tahu akan punca Tok Halim bersikap bermusuhan dengan keluarganya. Rupa-rupanya, dahulu Tok Halim pernah bercinta dengan Munirah, ibu Wani, dan sempat pula mereka bertunang. Namun, pertunangan itu diputuskan oleh pihak keluarga Munira kerana berharapkan Tuan Arshad yang menunjukkan minat yang tinggi terhadap anak gadis mereka. Oleh kerana sangat malu dan tidak dapat menerima perkara tersebut sehingga kini, Tok Halim memusuhi Wani dan ibunya.
“Saya dah lama maafkan Tok. Tapi kenapa Tok betul-betul benci pada saya? Apa salah saya pada Tok sampai...?” Belum sempat Wani menghabiskan kata-katanya, Tok Halim sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Alhamdulillah syukur, hasrat Tok Halim untuk meminta maaf kepada Wani dan ibunya tertunai jua sebelum dia melelapkan mata untuk selama-lamanya. Wani, ibu Munirah serta semua penduduk kampung membaca tahlil secara berjemaah bagi mendoakan kesejahteraan Tok Halim di akhirat sana. Malam itu, setelah pulang dari rumah Tok Halim, Wani asyik merenung rantai yang terkalung di lehernya, sekejap dia berbaring di atas katilnya menghadap ke kanan dan sekejap menghadap ke kiri. Dia berfikir sejenak apakah yang patut dia lakukan dengan sebutir batu putih yang diberikan Tok Halim kepadanya suatu ketika dahulu. Hendak dibuang sayang kerana pemberian batu putih itulah yang menyebabkan dia berjuang bersungguh-sungguh.
Sewaktu awan-awan di langit mula ditembusi pancaran cahaya matahari, burung-burung mula berkicau dan berterbangan keluar dari sarang bagi mencari rezeki, Wani telah pun bersiap dan menuju ke ladang ternakannya. Jelas sekali hatinya gembira melihat kejayaan perusahaan ternakannya sambil menaburkan dedak dari setiap reban ke reban yang lain. Dia bersyukur atas setiap nikmat yang dikurniakan Tuhan kepadanya. Dia mengambil keputusan untuk membuang rantai  yang diikatkan sebutir batu putih pemberian Tok Halim kepadanya kerana dia yakin bahawa selama ini tuhanlah yang telah membantunya dalam melalui rantaian demi rantaian kehidupan yang penuh dengan dugaan. Wani beredar dari ladang ternakannya dengan penuh bangga kerana akhirnya dia berjaya membuktikan wanita berlainan upaya juga mampu berjaya dalam bidang perusahaan ternakan.

0 comments:

Post a Comment

 
Kembara Musafir © 2020 DheTemplate.com. Supported by