PENA BAHASA

KEMBARA MUSAFIR
 

Saturday, April 4, 2020

Cerpen Seram Penunggu Asrama

0 comments





Karya 
Seram
Pertama 
Penulis


Misteri 

Penunggu

Asrama!!!


#Adaptasi
KisahBenar




MISTERI PENUNGGU ASRAMA
SHAHIRAN  RUSLAN

Keheningan pagi itu ditampar dengan suara riuh rendah di pasar awam, semua orang berpusu-pusu membeli barang keperluan harian seperti makanan mentah dan barang dapur. Aku singgah sebentar di pasar bagi membeli buah-buahan. Semasa aku sedang berjalan, aku merasakan seolah-olah ada orang yang mengekoriku. Namun, aku cuba melawan perasaanku kerana menganggap mungkin mainan naluri aku sahaja. Aku berasa kurang senang lantas memantaskan pergerakanku. Sewaktu aku sedang asyik memilih buah-buahan, terasa tangan seseorang sedang menepuk belakang badanku.
“Laa.., Pak Imam. Saya ingat siapa tadi. Terkejut saya.” ujarku dengan wajah lega.
“Maafkan saya. Ustaz jalan laju sangat. Tak sempat saya nak tegur. Bagaimana dengan keadaan asrama sekarang?” soal Pak Imam kepadaku.
“Alhamdulillah. Semuanya terkawal. Terima kasih sekali lagi atas bantuan Pak Imam lima tahun yang lepas.” balasku dengan wajah yang tenang. Perbualan kami terhenti disitu, kami berjabat tangan dan aku pergi menuju ke kereta Perodua Bezza yang baru kubeli. Semasa sedang memandu pulang ke asrama. Aku terkenang akan peristiwa seram yang berlaku lima tahun lepas. Peristiwa hitam yang sentiasa berlegar di ingatanku dan tidak pernah pudar dari coretan masa silamku.
Aku merupakan seorang guru yang baru berpindah ke sebuah sekolah di daerah Jelebu. Aku diamanahkan untuk menjadi warden bagi menjaga anak-anak murid yang tinggal di asrama. Di sekolah, aku lebih dikenali sebagai Ustaz Shah kerana mengajar subjek pendidikan islam. Aku membawa isteri dan anakku tinggal di asrama tersebut. Aku berasa sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama aku menjadi warden.
“Salam perkenalan anak-anak murid sekalian. Saya merupakan warden baharu kamu dan saya harap kamu semua dapat memberikan kerjasama sepanjang saya menjaga kamu disini.”
Aku mengumpulkan semua murid asrama di dewan bagi mengenali mereka dengan lebih mendalam. Aku membuka ruang bagi mereka menyatakan permasalahan yang mereka hadapi. Seorang demi seorang meluahkan dan menyatakan pendapat atau pandangan mereka sehinggalah ketua asrama puteri bersuara.
“Saya Siti Solehah. Saya merupakan Kapten Asrama Puteri. Saya harap ustaz dapat membantu menyelesaikan gangguan hantu di asrama kami. Kami takut.” luah Solehah dengan nada yang penuh ketakutan.
“Baiklah. Kamu jangan khawatir. Saya akan cuba sedaya upaya”. Pada masa itu, aku menganggap ini merupakan perkara remeh-temeh sahaja. Maklumlah di mana-mana tempat mesti ada makhluk lain. Jadi aku fikir mungkin budak Solehah ini cuma melayan perasaan takutnya sahaja.
Keesokan harinya, aku pergi ke sekolah dengan wajah yang ceria. Ini merupakan hari pertama aku mengajar di sekolah tersebut yang terletak jauh di pedalaman desa. Sewaktu hendak pulang ke asrama, bekas warden asrama tersebut iaitu Cikgu Adam menyapaku dengan dahinya yang berkerut.
“Maaf menganggu Ustaz Shah. Bagaimana perasaan jadi warden?” soal Cikgu Adam kepadaku seolah-olah ada perkara yang tidak kena.
“Alhamdulillah. Semuanya baik-baik sahaja. Buat masa ini. Belum ada lagi masalah disiplin yang berlaku”. jawabku sambil berkata mengapa beliau bertanyakan soalan tersebut.
“Err.., Saya bukan apa Ustaz. Asrama tu. Emm.., berhantu! Saya berhenti jadi warden pun sebab dah tak tahan asyik diganggu.” ujar Cikgu Adam dengan nada terketar-ketar.
“Ohh.., jangan takut. Semua tempat ada makhluk tersebut. Makhluk yang hidup di dunia ini sebenarnya bukan manusia sahaja, malah ada malaikat, jin, syaitan dan sebagainya.” Balasku panjang lebar dan memohon izin untuk beredar pulang ke asrama.
 “Cikgu Adam mesti saja nak takutkan aku. Aku tengok asrama itu elok sahaja. Tiada apa yang perlu ditakutkan.” bisik hatiku sambil menggelengkan kepala.
 Waktu petangku diisi dengan bermain takraw bersama-sama murid di bahagian hujung asrama berdekatan dengan bangunan lama asrama yang telah terbakar. Tepat jam 6.00 petang. Semua murid pulang ke bilik masing-masing bagi membersihkan diri mereka. Aku menimbang bola takraw seorang diri kerana belum puas bermain.
Tiba-tiba! Aku melihat kelibat seorang budak lelaki yang melambai tangannya ke arahku dari arah bangunan lama tersebut.
“Hoi! Kamu buat apa di sana. Balik ke bilik kamu sekarang!” arahku dengan nada yang tinggi. Namun budak lelaki tersebut tidak mengendahkan jeritan arahanku.
“Ini mesti kes murid lelaki cuba merokok dekat bangunan lama tersebut. Aku kena cepat pergi siasat.” aku bermonolog seorang diri.
Sebaik sahaja aku sampai di hadapan bangunan lama, aku melihat tiada sesiapa yang berada di situ. Aku menyangka mesti mereka sudah berjaya melarikan diri ke bilik. Kali ini aku lepaskan mereka, lain kali siaplah!
Kedinginan malam tersebut memaksa aku tidur lebih awal. Aku berhenti menyemak buku latihan murid dan mengambil keputusan pergi ke bilik tidur.
“Haihhh.., tak tidur lagi ya. Tidurlah sayang. Dah lewat ni. Berhentilah tengok tv tu.” ujarku kepada anakku yang sedang asyik menonton kartun kegemarannya.
Sebaik sahaja aku sampai ke bilik. Alangkah terkejutnya aku melihat anakku sedang nyenyak tidur bersama isteriku. Pelbagai persoalan bermain di gawang mindaku. Siapakah budak kecil yang menonton tv tadi. Adakah aku berkhayal. Aku cuba memberanikan diri untuk pergi ke ruang tamu melihat sama ada anakku sedang menonton tv atau tidak.
“Tiada! SubhanAllah. Aku melamun rupanya. Haihhh.., penat sangat tanda kertas lah ni.” keluhku masih cuba positif dengan kejadian yang menimpaku sebentar tadi.
Malam itu angin bertiup agak kencang, suara gonggongan dan nyalakan anjing di belakang pagar asrama agak menyeramkan. Di tambah lagi pancaran bulan yang mengambang, sedikit sebanyak menggigit rasa seram di benakku.
“Ustaz.., Ohh Ustaz!” kedengaran suara murid sedang mengetuk pintu rumahku dengan nada yang agak cemas.
Sebaik sahaja aku menjengah ke luar, aku melihat Safwan Ketua Asrama Putera bersama dengan beberapa murid lain sedang menangis dan menggigil ketakutan. Safwan menceritakan segala perkara yang terjadi. Suasana asrama pada malam itu sungguh menyeramkan. Kedengaran suara murid perempuan menjerit-jerit di beberapa buah bilik dan seorang murid lelaki telah dirasuk. Aku sangat buntu pada masa itu, pada Allah saja aku meminta pertolongan. Aku segera menelefon Cikgu Izzaty warden asrama puteri untuk mengumpulkan semua murid di surau. Di sana, aku mengarahkan semua murid membaca ayat al-quran dan beberapa murid lelaki melaungkan azan. Murid yang dirasuk dan terkena histeria aku kumpulkan di hadapan surau. Tanpa melengahkan masa, aku segera menelefon Pak Imam Haji Halim untuk meminta bantuan kerana dia seorang sahaja yang aku kenal di kampung berdekatan.
“Apa yang kau mahu! Keluarlah kau wahai bangsa iblis. Kami tidak pernah menganggu kau!” Pak Imam cuba berinteraksi dengan makhluk halus yang masuk ke dalam tubuh murid lelaki yang dirasuk.
“Aku tidak mahu. Aku suka tinggal di sini. Ini rumah aku. ” jawab makhluk halus tersebut dengan intonasi suara yang kasar dan garau.
Pak Imam lantas membacakan beberapa ayat suci al-quran dan berdoa kepada Allah. Alhamdulillah. Murid yang dirasuk tersebut kembali pulih seperti asal. Murid-murid perempuan yang terkena histeria juga berhenti menjerit dan keadaan di surau asrama pada masa itu kembali tenang.
“Ustaz Shah. Ke sini sekejap.” ucap Pak Imam kepadaku.
Pak Imam menceritakan segala yang terjadi. Menurut beliau, makhluk tersebut bukanlah iblis tetapi bangsa jin. Mereka suka menganggu murid-murid kerana mereka selesa dan seronok tinggal di kawasan asrama tersebut. Hal ini kerana keadaan asrama puteri sangat busuk dan kotor. Murid perempuan suka membuang tuala wanita mereka yang dipenuhi  darah merata-rata tempat. Sampah pula tidak disapu dan dibiarkan berlonggokan di bilik. Begitu juga dengan murid lelaki, keadaan bilik berbau dan bersepah. Kegiatan murid yang gemar merokok di belakang asrama juga sedikit sebanyak menarik minat makhluk jin tinggal bersama mereka kerana asap merupakan makanan mereka.
“Sekarang baru saya sedar Pak Imam. Tetapi, mengapa ramai sangat murid yang terkena histeria?” soalku kebingungan.
“Mudah saja. Bangunan asrama lama tersebut merupakan kediaman baru mereka. Bangsa mereka sudah mula menetap di sana. Jadi, memang mudah untuk mereka menganggu murid-murid yang tinggal di asrama.
Setelah semuanya selesai, Pak Imam berlalu pergi dan sempat berpesan kepadaku agar menghidupkan suasana agama di asrama. Namun ada satu pesanannya yang menghantui fikiranku. Pesanan yang melibatkan orang yang sangat kusayangi.
“Jaga anak Ustaz elok-elok, anak-anak mereka sudah mula suka bermain dengan anak Ustaz.” bisik ustaz dengan suara yang halus di cuping kiri telingaku.
Bisikan pesanan Pak Imam bagaikan halilintar yang menyambar perasaanku. Aku tergamam seketika. Pesanannya menguatkan silogisme akalku yang kuat mengatakan anakku telah diganggu. Sejak kebelakangan ini, aku kerap mendengar anakku bercakap seorang diri di dalam biliknya. Apabila ditanya, dia akan menjawab dia seronok berbual dengan kawannya dan kawannya ingin tinggal bersama-sama dengan kami.
Keesokan malamnya, kami membuat bacaan Yaasin dan solat hajat meminta pertolongan Allah agar dijauhkan daripada segala kejahatan jin dan syaitan. Aku mula memperkenalkan rutin harian baru bagi menghidupkan roh agama dalam jiwa semua murid. Setiap kali usai solat maghrib, semua murid akan solat hajat dan baca al-quran berjemaah sehingga tiba waktu isyak. Manakala sebelum tidur pula, murid lelaki akan bergilir-gilir membaca surah As-Sajdah dan Al-Mulk di pondok pengawal dengan menggunakan pembesar suara. Selain itu, ketua asrama putera dan puteri perlu melaporkan kebersihan setiap bilik kepada warden sebelum jam 11 malam. Pengawal keselamatan pula wajib meronda sekitar kawasan asrama pada lewat malam bagi mengelakkan murid melakukan hal yang tidak senonoh dan merokok.
Alhamdulillah. Kini genap lima tahun aku menjadi warden asrama. Tiada lagi gangguan makhluk halus yang terjadi. Namun, ada satu perkara yang sering meragut lena tidur malamku. Anakku masih suka berbual seorang diri di biliknya. Pelbagai cara sudah kuikhtiarkan. Berjumpa doktor kesihatan, rawatan islam dan berubat cara kampung.  Persoalannya kini, bagaimanakah caranya aku boleh menyelesaikan masalah anakku? adakah aku patut terus tinggal di asrama atau pindah sahaja ke tempat lain? Sesungguhnya pada Allah jualah aku sebagai hamba memohon pertolongan.

0 comments:

Post a Comment

 
Kembara Musafir © 2020 DheTemplate.com. Supported by