PENA BAHASA

KEMBARA MUSAFIR
 

Wednesday, April 8, 2020

Tujuh Sunnah Rasulullah

0 comments


         
Assalamualaikum semua, hari ni saya nak berkongsi tujuh sunnah rasulullah yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian. Mari lah bersama-sama kita hidupkan sunnah baginda yang kita cintai. Oh iya, moga ada manfaat dan doakan saya juga ya.

11    SOLAT DHUHA
Saya yakin mesti semua orang pernah mendengar solat dhuha. Bila sebut solat dhuha, mesti sudah terbayang di fikiran kita mengenai solat yang didirikan supaya nanti murah rezeki. Saya juga begitu sewaktu zaman persekolahan dahulu. Namun, saya ada terbaca perkongsian seorang sahabat mengenai kita perlu perbetulkan niat kita yang mana niat utama kita bukanlah rezeki semata-mata, tapi apa yang lebih penting ialah kita mengerjakan solat dhuha untuk memohon redha Allah. Insaf saya bila baca perkongian sahabat tu. Ada betulnya. Begitulah kita hamba, bila bab rezeki laju je kan.
            Oh iya, sebelum tu, solat dhuha kebiasaannya dilakukan 30 minit selepas terbitnya matahari sehingga 10 minit sebelum masuknya waktu zohor. Bilangan rakaatnya pula terpulang sama ada nak buat 2 / 4 / 6 / 8 rakaat, yang penting laksanakannya dengan 2 rakaat 1 salam. Niatnya pula ‘Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah taala.’ Mudah bukan? Tapi sangat besar ganjarannya bagi siapa yang mengerjakan solat sunat dhuha.  Jadi apa tunggu lagi sahabat-sahabat semua, jom amalkan solat dhuha!

22    JAGA WUDHUK
Di dalam Islam, wudhuk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syara’ pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan serta menyerikan lagi anggota yang dibasuh dan dibersihkan (laman web rasmi mufti wp). Niat wudhuk sahaja aku berwudhuk kerana Allah taala.
            Menjaga wudhuk ialah sunnah yang paling mencabar bagi saya. Maklumlah bukan senang kita nak memastikan diri sentiasa dalam keadaan berwudhuk. Nak-nak pulak, bila di tempat kerja. Tapi, yakinlah sungguh besar ganjaran dan hikmah mengapa nabi menyarankan kita menjaga wudhuk. Jadi, sahabat-sahabat semua cuba-cuba lah jaga wudhuk ya.

33    SEDEKAH
Sadaqah atau sedekah adalah daripada perkataan (Bahasa Arab: صدقة‎) yang bermaksud benar. Makna syara' "sedekah" pula adalah pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Baik pemberian itu ditujukan kepada fakir miskin, kerabat keluarga, maupun untuk kepentingan jihad fi sabilillah. (laman web rasmi jabatan kehakiman Syariah Kelantan)
            Sedekah merupakan amalan yang paling mudah untuk dilakukan, tetapi tidak ramai yang kuat untuk melaksanakannya. Nak tahu kenapa? Mestilah kerana masih ada rasa cinta dunia yang tebal dalam diri kita dan ragu-ragu terhadap ganjaran bersedekah. Sejak kecil, kita semua lebih dimomokkan dengan menabung berbanding bersedekah untuk mengumpul wang. Ya, saya tak nafikan menabung amalan yang baik, saya pun masih menabung, tapi isi utama yang saya nak sampaikam ialah terdapat segelintir umat islam yang rasa bila bersedekah atau memberi harta/wang kepada orang lain, maka harta/wang mereka akan berkurang. Dari segi logik akalnya, tak dinafikan memang begitu. Tapi, percayalah bila kita bersedekah, maka akan muncullah rezeki yang tiba-tiba dan tidak disangka-sangka. #ugivemoreugetmore


44    MEMBACA AL-QURAN
Haaa.. yang ni pun mudah nak buat, tapi ramai yang suka tangguh-tangguh. Walhal, kita semua tahu al-quran itu kalam Allah, sumber ketenangan dan panduan hidup bagi umat islam. Tersangat lah rugi jika kita asyik fikir, “esok lah aku baca quran, malam nanti lah aku baca” Kita yakin ke yang esok atau malam nanti tu kita hidup lagi? Tepuk dada tanya minda ya. #deep. Saya bukanlah nak menghukum manusia, saya pun sama, rasa malas ja nak baca quran ni, oh iya kita malas mesti sebab hasutan syaitan ni kan. (Pulakkk, salah aku jugak… kata syaitan.)  Kalau ada sahabat-sahabat yang masih merangkak-rangkak atau tidak tahu membaca al-quran, jangan malu! Belajar lah sekarang ya. Yang belum tahu baca, dengar bacaan al-quran pun dapat pahala. Jadi, ayuh sama-sama ya.
            Umamah al-Bahili meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran. Pada hari kiamat, ia akan memberi syafaat kepada orang-orang yang membacanya.” (Sahih Muslim) Bukan saja mereka yang membaca al-Quran, malah golongan yang mendengar bacaan al-Quran juga dikira sebagai melakukan amal kebaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-A’raaf, ayat 204) Oleh itu, setiap Mukmin perlu menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai amalan harian yang tidak sesekali diabaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Semulia-mulia ibadat umatku ialah membaca Quranul Karim (ibadat yang bukan wajib) bahawa sebaik-baik amalan umatku ialah membaca al-Quran.”Al-Quran adalah senjata paling berkesan untuk membersihkan jiwa yang sering kali lalai kerana banyak melakukan dosa dan maksiat. Daripada Ibnu Umar RA, beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. (Harian Metro, Mei 2019)


55    SOLAT TAHAJUD
Sahabat-sahabat yang pernah tinggal di asrama atau pernah pergi kem solat, mesti pernah buat solat tahajud. Haaa.. solat tahajud ni saya akui memang sukar untuk kita lakukan maklumlah iman senipis bawang. (Nohh, Salah aku pulakk dahh.. kata bawang) Tapi, kita mesti berusaha untuk melaksanakannya, kita ni banyak dosa, jadi, marilah kita sucikannya ya.
            Rasulullah SAW bersabda:  “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.”   (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)
            Niat solat sunat tahajud ialah sahaja aku solat sunat tahajud 2 rakaat kerana Allah taala. Jumlah rakaat unlimited. Terpulang kepada sahabat-sahabat nak buat 2 atau 4 atau 6 atau 8 rakaat. Yang paling penting ialah istiqamah atau berterusan. Dalam erti kata lain, tak mengapa buat sedikit asalkan berterusan ya… Jadi, lepas ni tidur awal ya! Senang bangun nanti. Kalau tengok bola EPL kita boleh tidur dan bangun awal, siap kunci jam lagi, takkan lah nak gapai syurga Allah kita tak boleh kan. Hiks hiks…

66    ISTIGHFAR PADA SETIAP MASA
Amalan istighfar merupakan satu amalam yang ramai terlepas pandang. Kebiasaannya kita hanya beristighfar selepas solat. Jadi, saya nak ajak sahabat-sahabat semua untuk beristighfar pada setiap masa. Jadikannya sebagai rutin harian, besar ganjarannya. Jom amalkan ya.
Pendakwah, Mohd Hassan Adli Yahaya pernah berkata istighfar menjadi antara kunci ‘menjemput’ rezeki yang sangat kuat kerana banyak petunjuk menunjukkan Allah SWT menurunkan rezeki kepada orang yang sentiasa beristighfar, bertaubat dan kembali kepada-Nya. Menjelaskan lebih lanjut kelebihan istighfar, beliau menceritakan kisah ulama salaf terkemuka Imam Hasan al-Basri yang sering menjadi tempat orang ramai merujuk masalah untuk mendapat jalan penyelesaian. Semua masalah yang dirujuk kepadanya, Hasan al-Basri akan menyuruh supaya orang itu beristighfar. Bingung melihat perkara itu, seseorang bertanya kepadanya apakah semua masalah boleh selesai hanya dengan istighfar.
Hasan al-Basri menjawab, ia bukan penyelesaian yang beliau berikan tetapi firman Allah SWT dalam al-Quran. Allah SWT berfirman, “Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anakmu dan mengadakan untukmu kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai. Mengapa kamu tidak percaya akan kebesaran Allah?” (Nuh: 10-13).

77    SOLAT BERJEMAAH DI MASJID
Haa amalan ni saya tujukan kepada kaum lelaki ya. Lelaki yang bakal menjadi atau sudah menjadi pemimpin rumah tangga, ringan-ringankanlah kaki kita untuk solat berjemaah di masjid. Jangan melakukan perubahan secara drastik atau melulu, cuba lah sedikit-sedikit namun istiqamah. Misalnya untuk permulaan mulakan solat berjemaah maghrib dan isyak di masjid dahulu. Kemudian, cuba waktu subuh pula hingga lah kita boleh solat berjemaah di masjid atau surau pada setiap waktu. Mari sama-sama kita hijrah ya.
            Dari Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Pahala solat seseorang dengan berjamaah melebihi pahala solatnya di rumah dan di pasar sebanyak dua puluh lima darjat. Hal tersebut, kerana apabila seseorang di antara kalian berwuduk, lalu memperelokkan wuduknya, kemudian pergi ke masjid semata mata kerana untuk mengerjakan solat, dan kesempatan itu hanya dipergunakan untuk solat, maka orang tersebut tidak melangkah satu langkah, kecuali setiap langkahnya itu diangkat baginya satu darjat, dan dihapus darinya satu dosa, sampai dia masuk ke dalam masjid. Apabila dia telah masuk masjid, maka dia dikira dalam keadaan solat selama tertahan kerana solat (tidak keluar dari masjid kerana menunggu solat), dan para malaikat akan berselawat (memohonkan rahmat dan ampunan) kepada seseorang di antara kalian, selama dia tetap berada di tempat dia mengerjakan solatnya, mereka (para malaikat) berdoa; Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia dan terimalah taubatnya. Para malaikat itu berdoa demikian selama orang itu tidak mengganggu orang lain di tempat itu atau berhadats.” (HR Abu Daud No: 472.

Semoga perkongsian 7 sunnah rasulullah ni memberi sedikit suntikan rasa dan motivasi kepada sahabat-sahabat semua untuk berhijrah ke arah yang lebih baik. Kita semua hamba, banyak dosa, itu biasa, tapi jika kita dah tahu kita banyak dosa, tapi kita buat-buat lupa, itu luar biasa! Kita di dunia ini hanya musafir yang terus mengembara kerana suatu hari nanti kita pasti pulang ke negeri abadi. Jadi, ayuh kembara musafir semua!

0 comments:

Post a Comment

 
Kembara Musafir © 2020 DheTemplate.com. Supported by